Siapa penyanyi era 90an yang tak bayar sewa rumah dan bil tertunggak hingga RM10k? Ada dua hint pasal selebriti ini

Oleh KIM SYAZIE

Seorang penyanyi popular tahun 90an didakwa gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM3,600 sejak Jun lalu.

Selain itu, bil elektrik juga tidak pernah dibayar yang kini jumlahnya hampir RM7,000.

Memetik laporan Harian Metro, pengadu yang merupakan tuan rumah telah menghubungu penyanyi itu malah memberikan notis untuk mengosongkan rumah namun tidak diendahkan ‘amaran’ tersebut sebaliknya dia kekal menetap di rumah itu.

“Dia seorang yang tidak boleh dibawa berbincang. Dia keluar dengan parang sewaktu saya datang ke rumah itu untuk berbincang,” kata Liza Mohamad, pemilik rumah berkenaan.

Katanya, penyanyi itu sudah tidak membayar sewa rumah sebanyak RM900 sebulan dan kini tertunggak dari Jun sehingga September.

“Saya sudah membuat empat laporan polis terhadapnya, tapi masalah masih lagi tidak dapat diselesaikan,” katanya seperti dilapor.

Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan siapa penyanyi tersebut. Begitu pun ada dua ‘hint’ yang didedahkan mengenai penyanyi itu.

Antaranya, dia adalah seorang lelaki.

Selain itu, penyanyi terbabit menyewa rumah di Setapak Indah, sejak Oktober 2020 selepas kisahnya tular dan mendapat bantuan daripada Pusat Pengutan Zakat (PPZ).

Liza berkata, penyanyi berkenaan berjanji mahu keluar dari rumah itu sekiranya ada kediaman lain untuknya.

“Selama ini pun dari Oktober 2020 sehingga September 2021, PPZ yang bayarkan sewa rumah itu. Kemudian dari Oktober 2021 hingga September tahun lalu, Baitulmal pula yang bayarkan sewa.

“Saya harap sangat pihak tertentu seperti PPZ dan Baitulmal tampil membantu saya dan carikanlah rumah lain untuk dia.

“Bil elektrik pula tidak pernah dibayar sejak dia duduk di rumah itu sehingga sekarang tunggakan sudah mencecah hampir RM7,000. Oleh itu, saya harap sangat ada pihak dapat membantu sebab saya nak dia keluar dari rumah itu. Saya nak ambil khidmat guaman, tidak berkemampuan kerana bukan orang senang,” katanya.

Baca juga: Hilang RM45k sekelip mata, pelakon tak sangka jadi mangsa ‘phone scam’