“Suami curang sebab aku tak teman dia ‘live’ di TikTok, habis anak siapa nak jaga?”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka aplikasi TikTok yang dimuat naik oleh suami rupanya menjadi punca keretakan dalam rumah tangganya.

Berniat untuk menggunakannya bagi menambah pendapatan, suaminya malah berlaku curang selepas berkenalan dengan seorang gadis melalui platform tersebut.

Keengganan wanita bernama Sha menemani suaminya membuat siaran langsung di TikTok pada awal pagi turut dijadikan alasan oleh lelaki itu untuk mencuranginya.

Berikut perkongsian Sha yang memerlukan bantuan untuk membuat keputusan selepas suaminya lebih memilih untuk meneruskan hubungan dengan gadis TikTok itu.

“Saya dan suami berkenalan sejak tahun 2007 ketika masing-masing sedang belajar di peringkat diploma dan sarjana muda. Selepas beberapa bulan tamat belajar, kami berdua berkahwin. Hidup sama-sama susah, tiada apa-apa harta. Setelah dua tahun menikah, kami dapat cahaya mata lelaki. Saya berhenti kerja selepas anak kami lahir.

“Anak kami menghidap autisme dan sawan tangis. Disebabkan bayi selalu menangis, kami tak mahu ambil risiko untuk hantar ke pengasuh. Bimbangkan keselamatan anak. Suami juga berhenti kerja dan memutuskan untuk memulakan perniagaan sendiri. Tiga tahun kemudian, saya dapat bayi baru lagi. Anak perempuan. 

“Kedua-dua anak kebanyakkannya diuruskan oleh saya. Kadang-kadang masak pun sambil dukung anak. Suami jika tiada kerja, suka duduk di rumah main telefon atau permainan video mudah alih (game). Jarang membantu saya buat apa-apa kecuali diminta tolong. Pernah juga saya cuba minta tolong, tetapi yang dapat adalah maki. 

“Selepas daripada kejadian itu, saya jadi serik nak minta tolong. Saya fikir tak perlu nak susahkan dia. Dia yang mencari rezeki untuk membayar segala keperluan. Saya berkecil hati juga apabila dia kurang beri perhatian kerana sibuk dengan telefon. Jadi saya sibukkan diri, supaya boleh alihkan perasaan yang sedih ini.

“Sampai jadi kebiasaan buat saya bertahun-tahun dalam rutin kerja rumah untuk tak kisah dipedulikan atau tidak. Sampailah lebih 10 tahun kami berkahwin. Kerja suami kadang-kadang lumayan. Adakalanya tiada rezeki, sampai duit simpanan pun makin kurang. Dia kemudian muat naik aplikasi Tiktok. 

“Katanya mahu memperbaiki diri dengan berkarya menerusi siaran langsung atau ‘live’. Saya tak dapat nak sertai dia. Sebab saya tak mampu nak bersengkang mata sampai 2 ke 3 pagi. Seharian uruskan anak-anak, tenaga pun habis. Dalam pukul 10 macam itu saya tidur dengan anak. Dia pula tidur di bilik lain.

“Menurutnya, dia ada alahan gatal sebab kucing kami suka lepak atas tilam. Bila balik kerja, dia akan masuk bilik untuk tidur selepas makan dan mandi . Pintu juga ditutup sebab tak mahu kucing masuk. Saya pelik, dia juga sudah jarang bergaul dengan anak-anak. Jarang juga nampak dia live

“Sedikit sahaja masa diluangkan bersama .Tetapi, saya rasa dia penat sangat sebab siang bekerja. Saya berfikir positif. Semasa hangat kes abang Tesla, dia dalam kereta tiba-tiba berborak tentang perkara itu. Sambil genggam tangan, dia cakap tentu saya tak kisah bermadu jika dia mampu beri apa sahaja suatu hari nanti.

“Suami minta benarkan dia untuk berangan-angan macam itu sebagai pembakar semangat untuk berusaha dan berjaya. Dia cakap dia sangat sayangkan saya. Malam itu saya asyik teringat apa yang dibicarakan. Tak kelakar. Rasa curiga. Bagi saya dia tiada sebab nak berangan macam itu kalau hanya saya di hati dia.

“Keesokkannya, semasa suami mandi pagi saya nekad untuk periksa telefon. Dia sorokkan di bawah bantal. Saya buka Tiktok dia, nampak mesej selamat pagi sayang dan dibalas juga dengan panggilan sayang! Ada lagi mesej-mesej lain. Berderau darah saya masa itu. Rupanya selama ini dia bermain cinta dengan orang lain. 

“Patutlah sebulan dua ini, riak muka dia berubah. Saya sudah mula rasa sebelum ini cuma tak mahu buruk sangka. Selepas mandi, saya terus beritahu yang rahsia dia sudah terbongkar. Dia cuba berbincang secara baik dengan saya. Katanya Si A** selalu teman dia live, sampai awal pagi teman dia. 

“A** yang mula sukakannya dahulu. Dia tahu suami sudah berkahwin. Tetapi suami minta jangan tinggalkan. A** itu tak boleh tidur malam, sebab dia patah hati selepas putus tunang akibat disihir. Suami kasihankan dia. Suami temankan A**, telefon dia sampai pagi buta. Sehingga A** tidur. 

“Kata suami, A** banyak bagi semangat. Sokong dia kerja, ubah diet sihat dia, ubah tabiat main game dia. Habis itu saya buat apa selama ni? Saya yang bertahan walau suami tak ada apa-apa selama ini. Saya yang sediakan makan minum dia. Masa itu saya sedih sangat. Tak sangka suami rupanya tak setia. 

“Suami tak anggap apa yang saya buat selama ini sebagai pengorbanan. Malah dia salahkan saya yang kurang bagi perhatian. Saya minta mereka putus, dia menangis tak nak tinggalkan perempuan itu. Saya rasa nak sangat pergi jauh, bawa anak-anak. Tetapi saya tak mampu buat macam itu. Saya balik mengadu kat Allah.

“Muhasabah diri saya sendiri. Anggap ada hikmah Allah uji saya. Mungkin saya yang banyak dosa selama ni. Saya menangis minta Allah murahkan rezeki dia, ampunkan dosa saya dan suami. Tak lama Allah terus bagi rezeki masuk selepas beberapa bulan tak ada kerja. Allah makbulkan doa saya untuk suami sendiri. Baiknya Allah.

“Selepas dari kejadian itu, A** tahu hubungan mereka sudah kantoi. Tetapi suami masih dia tak boleh tinggalkan A**. Mereka akan berkawan saja, tetapi masih mesej hari-hari, telefon setiap malam. Saya selalu tak boleh tidur, terjaga sebab panas hati sedar suami tengah telefon perempuan lain pada waktu itu.

“Bila saya datang cakap cemburu dan tak boleh hadap benda itu, suami mengamuk. Marah sangat. Suami tak pukul, tetapi dia dera emosi saya. Dia pecahkan pintu dan barang. Tumbuk dinding. Dia marah sangat kalau saya tak tidur. Suami cakap waktu malam sepatutnya saya tidur jadi dia dapat telefon A** waktu itu sahaja.

“Saya rasa perkara itu tidak patut berlaku. Sebab apa pun alasan, suami dan A** tak boleh bergaul macam itu. Hampir sebulan kami gaduh benda yang sama. Suatu hari, kemuncak suami marah dia tinggalkan saya dan anak-anak dalam kereta. Saya takut nak naik ke rumah. Saya bawa anak-anak pergi ke rumah kakak ipar. 

“Masa itu hati saya sedih sangat. Duit pun cukup-cukup sahaja untuk naik train. Saya hanya mahu orang dengar luahan hati masa itu. Bila dah malam, baru beritahu suami di mana saya berada. Suami datang ambil. Abang sulong dia nasihatkan tetapi suami tak peduli. Balik dari sana, malam itu suami call A** lagi. 

“Saya ke tandas, guna kit ujian kehamilan sebab lambat datang bulan. Alhamdulillah, positif. Tetapi saya keliru campur risau. Takut sebab emosi saya sangat tak stabil, mengandung pula. Saya beritahu suami masa itu juga supaya A** dengar. Sebelum tidur, suami datang pada saya. Cakap mereka sudah putus sebab A** undur diri.

“Gadis itu tak mahu emosi saya terganggu. Saya rasa lega, suami nampak gembira. Keesokkannya, kejadian gila berlaku. A** mesej suami cakap dia menyesal undur diri. A** mesej saya juga minta untuk suami temankan dia macam biasa. Saya tak dapat nak bagi kebenaran. A** ugut suami nak bunuh diri, cederakan diri.

“Selepas itu, suami terus gelisah pujuk A** balik. Jika tak benarkan, saya yang kena marah balik. Jadi terpaksa cakap kat A** saya bagi. Saya terpaksa maafkan walau hati berkata lain. Bodohnya saya yang tak berdaya ini. Selepas saya pergi rumah ipar hari itu, hampir semua ahli keluarga suami menyokong saya.

“Mereka marahkan perbuatan suami. Tetapi suami malah menyalahkan saya sebab buat dia rasa teruk. Suami marahkan keluarganya sendiri. Suami cakap saya licik. Buat-buat bodoh tetapi saya perdaya dia. Saya tak ada keluarga sendiri untuk mengadu. Saya hanya nak orang dengar luahan hati sebab emosi saya sudah teruk.

“Saya tak nak buat apa yang Allah larang seperti menyakiti diri sendiri. Suami cakap dia tak boleh hidup tanpa saya. Sedangkan saya mesti boleh hidup tanpa dia. Ya, saya mungkin boleh sebab apa pun yang jadi saya mesti kuat demi anak-anak. Saya tak faham kenapa suami perlu sangat saya sedangkan dia tak boleh tinggalkan A**.

“Suami anggap hidupnya akan hancur jika A** tidak pernah hadir. Disebabkan nak jaga emosi saya semasa mengandung, suami setkan masa Isnin-Khamis untuk mesej sahaja. Pada Jumaat-Ahad A** boleh telefon sampai pukul berapa pagi sahaja. Saya rasa OK? Tak. Langsung tak gembira. 

“Suami cakap kalau nak mereka putus, saya kena jadi seperti A**. Kena temankan suami kerja livesampai pagi. Kena buktikan saya boleh buat apa-apa untuk cari duit. Saya tak mungkin boleh jadi macam A**. Tambah komitmen sedangkan rumah tangga saya yang buat sendiri semua. Dengan anak yang akan lahir lagi.

“Kalau saya robot yang tak penat mungkin boleh. Dia permainkan saya pula. Setakat ini, keadaan saya masih tak berubah. Hati sahaja yang makin berubah. Saya rasa suami saya narsistik. Sebab itu saya tak mampu menang perbalahan kami. Entahlah. Ada sesiapa yang nak nasihatkan saya? Atau A**? 

“Saya rasa A** perlu pergi. Suami takkan lepaskan saya atau gadis itu melainkan A** sendiri yang pergi. Anak-anak saya perlukan bapa mereka. Saya juga masih sayangkan suami. Cuma saya sekarang rasa tersepit, rasa dunia ini bukan realiti. Tolonglah saya.” Rintih Sha menerusi perkongsian di laman luahan di atas talian.

Baca juga: Bukan diculik, tak sangka ini rupanya yang terjadi pada lelaki hilang lepas COD iPhone