Pembunuh serah diri pada polis, 3 bulan tak boleh tidur diganggu arwah kekasih

Oleh WAN SITI AMINAH

Tidak tahan diganggu oleh bayangan arwah kekasih yang dibunuhnya, seorang lelaki tampil menyerahkan dirinya kepada pihak polis.

Difahamkan, lelaki tersebut hadir ke balai polis selepas tiga bulan melakukan jenayah bunuh kerana tertekan sehingga tidak boleh tidur selama tempoh berkenaan.

Bukannya merasa bersalah kerana telah membunuh insan tidak berdosa, lelaki tersebut rupa-rupanya kerap diganggu oleh bayangan kekasih yang menghantuinya.

Tular di media sosial, perkara itu dikongsikan oleh seorang bekas anggota polis menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, @daudyatim.

Bekas anggota yang dikenali sebagai Daud itu berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dirinya berkhidmat sebagai pegawai lokap di sebuah balai polis tempatan.

Menurut Daud, insiden pembunuhan tersebut sebenarnya berpunca daripada pertengkaran mulut antara lelaki yang menyerahkan diri itu dengan kekasihnya.

Perbalahan itu kemudian bertukar dingin apabila lelaki berkenaan mulai merasa berang selepas kekasihnya enggan memberikan wang yang telah dimintanya.

“Mula-mula dia (suspek) bergaduh dengan kekasih berkenaan duit. Dia minta duit tetapi kekasihnya tak mahu bagi. Kemudian dia meminta pula gelang dan rantai milik wanita itu.

“Selepas kekasih suspek enggan menyerahkan barang kemas, suspek telah bertindak mengetuk kepala wanita itu sebelum merampas gelang dan rantai miliknya.

“Tanpa suspek sedar, ketukan itu rupanya mengakibatkan pendarahan di kepala kekasihnya dan menyebabkan mangsa pengsan,” cerita Daud menerusi hantaran itu.

Suspek kemudian mengangkat jasad sang kekasih yang terkulai layu sebelum mencampakkan wanita itu ke dalam semak tanpa usaha untuk menyelamatkannya.

Keesokkan harinya, suspek yang mendapati mangsa sudah meninggal dunia itu membuat keputusan untuk membuang mayat kekasihnya sendiri ke dalam sungai.

“Selepas pulang ke rumah, suspek tidak boleh tidur kerana diganggu oleh kekasih yang meninggal dunia itu. Katanya, suspek akan terus diganggu jika tidak menyerahkan diri ke balai polis.

“Jadi suspek merasa tertekan dan tidak boleh tidur di waktu malam. Dia diganggu bayangan kekasihnya di setiap masa terutamanya pada waktu Maghrib.” Ulas Daud.

Suspek kemudian akhirnya menyerahkan diri selepas tiga bulan melakukan jenayah bunuh kerana sudah tidak tahan diganggu oleh bayangan arwah sang kekasih.

Baca juga: “Suami curang sebab aku tak teman dia ‘live’ di TikTok, habis anak siapa nak jaga?”