“Suami bagi kunci rumah pada mentua, sekarang aku nak ke tandas pun tak senang”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita merasa sangat tertekan kerana sering bertelingkah dengan suami gara-gara perangai mentua yang tidak disenanginya.

Merasa seperti hilang kebebasan, wanita tersebut mulai rimas apabila mentuanya itu sering bertandang dan gemar mengubah sususan barang-barang dalam rumahnya.

Situasi kian memburuk apabila suami wanita berkenaan bertindak membuat keputusan sendiri dengan menyerahkan kunci pendua rumah kepada ibu bapanya.

Khuatir jika masalah akan memburuk suatu hari nanti, berikut luahan wanita yang tidak ingin kebahagiaan rumah tangganya tergugat dengan kehadiran mentua.

“Aku buat luahan di sini atas sebab tekanan yang melampau. Minggu ini kerap salah faham dengan suami gara-gara mak mertua aku. Ibu suami ini baik orangnya. Aku faham niatnya baik walaupun suka buat perkara yang menyakitkan hati. Semangat tolong-menolong sudah sebati dan menjadi personaliti dia yang tidak akan berubah.

“Dua minggu lepas ibu mentua datang untuk ‘tolong’ cat pintu rumah. Aku seorang pelukis, jadi bilik stor penuh dengan benda-benda yang nampak seperti sampah di mata orang lain. Contohnya macam botol plastik, balang kaca kosong, kadbod kotor dan kadang-kadang pembalut plastik untuk elakkan cat dari meresap ke lantai.

“Walaupun aku dah susun elok dalam almari dan tak bersepah. Tetapi kadbod kena letak di luar almari sebab tak muat. Aku izinkan mak mertua pakai berus dan balang kaca itu untuk cat pintu rumah. Mak mentua kalau bosan memang akan cari projek untuk isi kebosanan walaupun benda itu makan masa. Yang penting dia puas hati. 

“Pintu itu sebenarnya tak perlu dicat pun. Tetapi aku benarkan sebab mulut dia dah banyak bebel pasal pintu itu. Suami aku sampai tiada cara lain nak bagi mak dia diam sekejap. Masalahnya selepas selesai mengecat, ibu mentua pergi buang segala balang kaca, berus-berus aku, termasuklah baki cat yang dia pakai.

“Semua masuk tong sampah. Lama jugalah aku nak perasan. Sampailah hari yang aku nak pakai berus. Cari dalam stor, tak jumpa. Aku ingat balik, mak mertua orang terakhir yang masuk bilik stor itu. Lagipun bilik itu khas untuk bahan-bahan melukis sahaja, jagi anak-anak aku memang tak masuk.

“Aku pun tanya mak mentua. Dengan selamba dia jawab sudah ‘tolong’ buangkan. Sebab berus kotor dan balang kaca itu buruk, dia suruh beli baru. Masalahnya aku nak pakai sekarang, mana ada masa nak pergi kedai cari balik. Lagipun balang kaca ini asalnya dari bekas jem. Takkan aku kena beli jem semata-mata untuk melukis.

“Yang berus ini aku paling ralat. Salah aku juga sebab ingatkan mak mertua akan rendam berus itu lepas guna. Balik kerja aku bersihkanlah. Mungkin dia tak tahu yang berus Winsor & Newton ini bukan jenis pakai buang. Aku cuba bersangka baik. Tetapi tekanan ini berlarutan sampai malam hinggakan aku makan sebiji kek seorang diri.

“Tak lama lepas itu, mak mertua aku datang lagi. Dia cakap nak tengok cucu-cucu. Aku cakap boleh asalkan jangan usik barang-barang budak itu. Anak bongsu aku ini jenis suka mengemas. Jadi dia selalu susun mainan setempat dan pastikan tutup rapi dengan beg plastik supaya tak jadi berhabuk. Bila nak main baru keluarkan.

“Selepas habis main, anak aku akan tutup semula dengan plastik itu. Mak mertua aku memang tak usik barang. Tetapi tangan dia gatal tengok beg plastik berbungkus itu. Sepantas kilat dia tanggalkan plastik dan baling ke tepi bagai sampah. Kebetulan aku ternampak beg plastik itu. Rupanya, anak diam sebab taknak dilabel biadab.

“Aku bawa beg plastik pada ibu mentua dan terangkan yang mainan itu perlu ditutup supaya tak masuk habuk. Mak mentua ingatkan lagi senang main kalau tiada plastik. Tetapi aku pelik, suami tiba-tiba berubah selepas mak dia balik. Rajin dia mengemas dua tig hari ini sampai paksa aku sekali.

“Selama ini suami akan biarkan segala barang-barang menggunung tak berusik. Jika aku kemas, dia akan marah. Nanti susah nak cari katanya. Rupanya keluarga dia nak datang sini pada hari minggu. Sedangkan pada sebelah petang, kedai perabot nak datang untuk pasangkan almari dalam bilik anak-anak.

“Apa tujuan dia jemput keluarga di hari yang sibuk, aku tak tahu. Diam sebab jenuh berperang. Katanya datang dengan alasan nak menolong. Tetapi tak menolong pun. Rosak mood aku sampai migrain tak henti. Mak mentua masuk campur. Sibuk bagi nasihat ke anak-anak aku tentang cara terbaik untuk susun barang dalam almari.

“Aku tak sempat buat apa pun. Entah apa mak mentua kalutkan sampai berkotak-kotak sampah katanya. Anak-anak aku menurut sahaja sebab tak mahu jadi kurang ajar. Suami pula harapkan aku pergi sound mak dia. Aku sudahlah tengah migrain kronik. Lagipun bapa mentua dan adik-adik ipar aku ada situ.

“Tak mahu aku jadi punca keluarga bergaduh. Selepas mak mertua puas hati dengan cara susunan dia, satu keluarga akhirnya balik rumah. Barulah aku susun semula ikut kemahuan aku dan anak-anak. Tetapi masa ini, tiada sesiapa pergi periksa kotak-kotak yang dikatakan sampah itu sebab semua sudah penat. Terus tidur sahaja.

“Keesokkan harinya, anak sulung nak siapkan lukisan untuk kerja sekolah Isnin nanti. Jadi dia cari balik barang-barang untuk melukis. Masa ini anak tak jumpa kadbod yang aku pinjamkan pada dia dahulu. Anak tanya jika aku dah ambil balik sebab tiada dalam bilik dia. Mana aku nak cari malam-malam buta ini.

“Bukan senang aku nak cari kadbod jenis besar dan tahan lasak macam itu. Memang aku suruh dia lukis atas lantai. Tetapi sesiapa yang melukis akan faham, sukarnya buat kerja tak beralas dengan kadbod. Aku suruh anak ingat balik kali terakhir dia pakai. Anak cakap dia letak menegak di celah meja dan almari. 

“Masa ini aku teringat yang semalam mak mentua dah ‘projekkan’ bilik ini. Aku pun secara panik pergi bukak kotak-kotak yang mak mentua kata sampah. Dalam kotak penuh dengan benda-benda yang sudah terlipat dan terkoyak. Tak tahu sama ada disengajakan atau tak. Salah satu yang berlipat itu adalah kadbod anak aku.

“Yang aku pelik, banyak pula tenaga mak mentua penyekkan kadbod tebal ini. Aku pun tanya anak kenapa tak halang nenek daripada membuang sesuka hati. Anak aku jawab yang dia tak tengok masa itu, tengah susun benda lain. Suami yang terdengar bising-bising ini datang dan aku pun ceritakan apa yang mak dia sudah buat. 

“Suami gelak dan suruh beli sahaja yang baru. Sudahnya anak aku siapkan lukisan atas lantai sahaja. Selepas itu suami ada cakap yang dia tak suka cara aku sebab selalu salahkan mak. Habis itu aku nak salahkan siapa? Ibu mentua seharusnya tanya dahulu sebelum buang. Kami ini masih tuan rumah.

“Mana boleh pergi rumah orang lain dan susun sana sini ikut kehendak kita, bukan kita yang duduk situ. Bukan juga tanggungjawab aku untuk sound mak suami. Sebab dia yang nak sangat bagi kunci pendua pada mak dia supaya senang ‘tolong’ tengok rumah. Sampai aku nak pergi tandas pun risau takut tiba-tiba ada tetamu.

“Aku sekarang tiada privasi dan kebebasan. Nak letak barang-barang dalam rumah pun tak boleh ikut cara aku. Takkan hari-hari nak bergaduh dengan suami pasal ini. Aku faham mak mentua berniat baik, tetapi salah tetap salah. Aku rasa isu ni takkan selesai. 

“Walaupun aku tahu benda ini akan berlanjutan, aku cukup lega dapat luahkan di sini. Ringan sikit beban dalam hati ni. – Menantu Kepenatan.” Kongsi wanita berkenaan menerusi satu hantaran di laman luahan di atas talian.

Baca juga: Penantian berakhir tragedi, isteri hamil 8 bulan maut lepas 4 tahun tunggu zuriat