Apabila bercuti pastinya kita akan mencari hotel yang cantik dan bersih untuk berehat selepas berjalan.
Tapi kenapa sanggup tinggalkan bilik tersebut dalam keadaan kotor dan berselerak meskipun ada pekerja pembersihan untuk membersihkannya.
Satu video tular di media sosial Indonesia memaparkan sebuah bilik hotel yang ditinggalkan oleh tetamu dalam keadaan berselerak.
Menurut portal yoursay.id, video itu dimuat naik dalam akaun X @kegblgnunfaedh.
Tak terbayang dek akal melihat keadaan bilik tersebut yang dipenuhi sampah di setiap ruangan tersembunyi.

Malah beberapa barang dan perabot dalam bilik itu kelihatan rosak dan calar akibat tindakan tetamu yang tidak bertanggungjawab.
Tetamu itu dengan sengaja membiarkan sampah berselerakan di atas lantai, cadar di ruang tamu, tuala berselerak di bilik air dan puntung rokok ditinggalkan di dalam laci.
Rakaman kemudian menunjukkan penyatan surat denda yang dikenakan terhadap tetamu tersebut berjumlah 20 juta rupiah (RM6,023).
Netizen bagaimanapun menyuarakan bahawa denda tersebut perlu dinaikkan supaya memberi pengajaran kepada tetamu tersebut.
“Wajar mengenakan denda terhadap manusia seperti itu,” komen seorang netizen.
“Sepatutnya kena denda lebih daripada itu atau lapor polis. Orang pengotor macam ni patut dilarang menggunakan hotel atau penginapan lain,” komen netizen lain.