Pengacara All Stars Gegar Vaganza, Jihan Musa berdepan dengan kecaman hebat baru-baru ini kerana mempersendakan Azmi Saat iaitu vokalis Caliph Baskers.
Hal ini berpunca daripada keterlanjuran Jihan yang menjadikan nama bapa kepada penyanyi istimewa itu sebagai bahan jenaka ketika mengacarakan program tersebut.
Tampil menjernihkan keadaan, Azmi Saat berkongsi pandangannya mengenai situasi yang berlaku pada Ahad lalu itu di akaun Instagram milik program hiburan, H Live.
Pemilik nama sebenar Khairul Azmi Mohd Saat itu mengaku sudah boleh menjangka bahawa isu ini akan timbul apabila Jihan mempersendakannya secara umum.
Hal ini berikutan nama bapa merupakan satu perkara yang amat sensitif dan tidak sepatutnya menjadi bahan jenaka terutamanya dalam program siaran langsung.
“Waktu mula-mula Jihan cakap, saya ada di belakang pentas dan baru nak masuk. Saya dengar dan memang dah agak dah. Bahaya sebab pernah jadi kes sebelum ini.
“Apabila nama ayah dibuat main, akan jadi kecoh. Semua orang tahu bahawa nama ayah tidak boleh buat main,” kata pelantun lagu keagamaan, Hanya NamaMu itu.
Azmi bagaimanapun langsung tidak menyimpan sebarang perasaan marah kepada Jihan berikutan dirinya sudah mengenali pengacara berkenaan dengan rapat.
Malah menurut Azmi, Jihan yang juga seorang pelawak itu telah menghubunginya secara peribadi dengan menghantar permohonan maaf menerusi pesanan mesej.
Ahli kumpulan muzik orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan itu berharap agar Jihan bersikap lebih sensitif dan menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran.
“Saya tak ada rasa marah malah, Jihan ada mesej saya dan minta maaf. Cuma, kita kena belajar jugalah gurauan macam itu agak sensitif di mata masyarakat kita.
“Setiap orang bangga dengan nama ayah dia. Jadi kalau kita buat main nama ayah, memang orang tak suka. Gurauan sebegitu dengan orang kita kenal tiada masalah,” ujarnya.
Azmi juga sempat memuji kesedaran yang ada pada masyarakat hari ini di mana orang ramai tidak dapat menerima sekiranya orang kelainan upaya dipermainkan.
“Tak boleh saya nafikan apabila (kejadian mempersenda) terjadi di hadapan umum, penerimaan orang ramai memang tak suka orang OKU seperti saya dipermainkan.
“Macam kawan-kawan saya kata, orang normal tahu macam mana susahnya jadi OKU. Jadi mereka tak sampai hati nak bergurau. Orang amai tak suka OKU dibuat main.” Jelasnya.