Engku Emran sudah lali dikaitkan dengan wanita, rasa terkilan bila arwah ibu turut terkesan

Oleh MAISARAH AISYA

Kadangkala banyak netizen yang menularkan berita tanpa tahu kesahihan berita tersebut hingga akhirnya memberi kesan kepada individu tersebut.

Sering dikaitkan dengan banyak selebriti selepas tiga perkahwinannya gagal diselamatkan, ahli perniagaan, Engku Emran sudah lali.

Terbaru Engku Emran tampil menjelas hubungan cinta dengan Fiza Halim sebagai fitnah selepas tular gambar konon dia bersama dengan dua anak pelakon tersebut.

Menurut Kosmo, dua remaja yang bergambar bersama Engku Emran di sebuah rumah itu bukanlah anak Fiza sebaliknya anak kepada sahabatnya.

“Sebenarnya, kawan saya dari Terengganu kahwin dengan orang dari Czechoslovakia, jadi anak mereka kacukan. Bulan puasa mereka datang ke Malaysia dan berbuka puasa di rumah saya, kebetulan isteri dia tak ada hanya ada dua anak dia sahaja.

“Saya ambil gambar dengan kedua-dua anak gadis itu tapi ada komen mengatakan yang saya sedang bercinta dengan pelakon tersebut.

“Daripada situ orang buat cerita, masyarakat kita ini macam mana? Dengan komen itu boleh jadi fitnah, saya betul-betul tak faham apa motifnya,” kata Engku Emran dalam satu audio siar.

Walaupun itu hanya gosip biasa baginya namun ia memberi kesan emosi kepada Allahyarham ibunya, Salmah Abu Bakar.

“Masa itu arwah ibu saya masih hidup, dia mesej saya tanya ‘apa lagi ini Emran?’ Saya boleh terima perkara ini tapi tidak mak ayah dan anak.

“Anak saya sudah mencecah umur 14 tahun, sudah boleh membaca. Jadi perkara tersebut agak tidak manis,” ujarnya,

Tidak mahu membebankan rakan, Engku Emran memilih untuk berkongsi masalah dengan orang berpengalaman seperti ustaz bagi mendapatkan nasihat.

Baca juga: Nama bapa jadi bahan ‘jenaka’ Jihan Muse, tak sangka ini respon Azmi Saat