Siapa sangka, seorang lelaki tergamak ‘menculik’ ibu kandungnya sendiri hanya kerana mahu mendapatkan harta pusaka.
Rela menganiaya ibu, pemuda berkenaan bertindak menghantar wanita yang sudah lanjut usia itu ke hospital sakit jiwa tanpa permintaan atau kerelaannya sendiri.
Dalam kejadian yang berlaku pada April lalu, mangsa berusia 62 tahun itu sedang berada di hadapan rumah sebelum dihampiri oleh kenderaan pelbagai guna (MPV).
Berdepan dengan detik cemas, tiga orang lelaki kemudian turun daripada Toyota Inova sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan tersebut secara paksa.
Sempat meronta-ronta dan menjerit meminta tolong, anak mangsa kemudian datang untuk menekup mulut wanita yang sudah tidak berdaya itu dengan sehelai kemeja.
Kononnya mengalami gangguan mental, mangsa kemudian dihantar ke RSJ (Hospital Sakit Jiwa) Prof Ildrem di Kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia, lapor Tribun News.
Walaupun dibenarkan keluar keesokkan harinya, mangsa yang tidak dapat menerima perbuatan kejam anak kandungnya itu bertindak melaporkannya kepada pihak polis.
Bertindak atas laporan sang ibu, pihak polis berjaya menahan pelaku berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Alex Parmonangan Tobing itu pada 17 Oktober lalu.
Kejadian dan penangkapan pelaku yang menganiaya ibunya sendiri itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Labuhanbatu Selatan iaitu AKBP Maringan Simanjuntak.
Siasatan awal mendapati, pelaku memberikan alasan bahawa ibunya mengalami gangguan jiwa sedangkan hasil pemeriksaan doktor telah menyangkal dakwaan itu.
RSU (Hospital Umum) Putri Hijau turut mengeluarkan surat doktor yang membuktikan mangsa tidak mengalami sebarang gangguan mental seperti didakwa oleh anaknya.
Pihak polis bagaimanapun masih belum mendedahkan harta apa atau nilai pusaka yang menjadi rebutan keluarga berkenaan sehingga sanggup melakukan jenayah.
Jika didapati bersalah, Alex bakal berdepan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun lapan bulan berdasarkan Pasal 351 Ayat KUHPidana tentang Penganiayaan.