Seorang wanita yang sedang sarat hamil berdepan dengan detik cemas apabila tiba-tiba terjatuh ke dalam perigi kosong sedalam 16 kaki.
Ibu yang mengandungkan anak sulung itu semakin terperanjat saat melihat banyak darah di dalam perigi tersebut apabila bangun daripada pengsan selepas terjatuh.
Khuatir sekiranya bayi dalam kandungannya gugur, wanita yang dikenali sebagai Wan Natashaa itu segera menjerit dari dalam perigi untuk meminta pertolongan.
Nasib masih menyebelahinya, jiran Natashaa akhirnya mendengar jeritan tersebut sebelum bertindak menghubungi suaminya setelah diminta oleh ibu mengandung itu.
Usaha suami untuk membantu Natashaa dengan menghulurkan tangga malangnya tidak berjaya berikutan kakinya tercedara dan sudah tidak mampu bergerak lagi.
Tular di media sosial, kejadian yang dipercayai berlaku pada bulan Ogos lalu itu diceritakan semula oleh wanita tersebut menerusi hantaran di laman TikTok miliknya.
“Terpaksa telefon bomba sebab kaki aku patah, tak boleh naik tangga. Dalam perjalanan itu aku asyik fikir anak sahaja. Lapan bulan aku tunggu dia keluar.
“Doktor cakap kaki patah. Tetapi Alhamdulillah patah tak lari, kena pakai simen. Darah yang banyak dalam perigi itu dari darah dari jari terkoyak. Sumpah sakit.
“Paling penting doktor cakap jantungnya bayi okay. Sumpah aku bersyukur sangat Allah bagi peluang, sebab Tuhan tahu aku tak mampu kehilangan anak,” kongsinya.
Namun gembiranya cuma seketika, Natasha tidak dibenarkan doktor bahagian ibu untuk pulang selepas kakinya selesai disimen kerana keadaan bayi yang berpusing.
Sakit di kaki akibat jatuh perigi belum hilang, Natashaa malah perlu melahirkan anak enam hari selepas itu melalui kaedah pembedahan ‘caesarean section’ atau C-sect.
Menerima buis penuh berikutan kecederaan dialaminya, anak sulung perempuannya akhirnya berjaya dilahirkan dengan keadaan yang sihat menerusi pembedahan.
“Hilang semua sakit tengok anak ibu di depan mata. Sujud syukur Allah permudahkan segala urusan. Bayi keluar tiada kuning. Sangatlah bagus anak ibu ini. Anak ibu okay sahaja.
“Tetapi ibu pula yang tumpah darah. Ibu kuat demi princess ibu yang cantik ini. Baik sahaja anak ibu, tak menangis pun. Dia tahu ibu tengah sakit. Suami juga baik.
“Syukur Allah hadirkan suami yang bertanggungjawab. Terima kasih Allah untuk pengalaman yang takkan aku lupakan.” Kongsi Natashaa di video TikTok miliknya.