Adegan panas dalam drama ‘Perempuan Itu’ menaikkan nama pelakon baru, Siti Hariesa, babak yang paling dikecam ramai hingga disekat daripada ditayang.
Disebabkan kontroversi tersebut, Hariesa berharap ia menjadi titik hitam pertama dan terakhir dalam kariernya sebagai pelakon.
Menurut Kosmo, Hariesa enggan mengulangi kesilapan sama kerana ia hampir ‘meranapkan’ kerjaya seninya yang baru hendak bercambah.
“Publisiti tetap publisiti walaupun melibatkan perkara buruk. Tapi kalau boleh saya nak elakkan perkara sebegitu terjadi lagi selepas ini.
“Saya sudah ‘move on’ dengan kontroversi yang hampir meranapkan kerjaya seni yang baru hendak bercambah.
“Kejadian itu menjadi pengajaran dalam hidup saya. Jadi selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk meneliti skrip terlebih dahulu. Kalau ada ‘babak panas’, saya akan tapis,” jelasnya seperti dipetik Kosmo! Online.
Dikecam teruk netizen
Pada masa sama pelakon berusia 25 tahun itu mengaku dirinya tidak akan berundur dari industri seni walaupun teruk dikecam netizen.
“Walaupun saya pernah dikecam hebat netizen, tapi saya tidak pernah berputus asa. Saya hanya ‘move on’ dan jalankan kerja saya sebagai pelakon.
“Alhamdulillah kontroversi itu tidak memberi kesan terhadap kesihatan mental saya,” jelasnya.
Tolak cinta lokasi, jaga batas dengan suami orang
Pada masa sama Hariesa akui tidak menolak untuk berganding dengan pelakon yang berstatus suami orang namun akan lebih berjaga-jaga.
“Kalau kena berpasangan dengan pelakon lelaki berstatus suami orang, saya akan berhati-hati. Berlakon adalah kerjaya saya.
“Tapi untuk terjebak dengan cinta lokasi, mungkin tidak. Saya cuma buat kerja saya sebagai pelakon. Lebih baik saya cari diluar (pasangan),” katanya.
Baca juga: Mahu buktikan diri bukan ‘biawak hidup’ adik lelaki Shila Amzah terbang ke China cari kerja