Bapa ‘pinjam’ nama buka perniagaan, anak rasa dikhianati lepas jatuh muflis di usia 23 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara ‘dikhianati’ bapa sendiri, seorang pemuda terpaksa menerima kenyataan apabila dirinya diisytihar muflis di usia 23 tahun.

Mengundang simpati, pemuda tersebut menerusi satu hantaran di laman Facebook mendedahkan bahawa kejadian itu bermula ketika usianya mencecah 18 tahun.

Ketika kejadian, nama pemuda berkenaan telah ‘dipinjam’ untuk mendaftarkan satu perniagaan yang dibangunkan dan diuruskan oleh bapa kandungnya sendiri.

Namun begitu, perniagaan yang dijalankan oleh bapanya itu tidak berhasil meraih keuntungan sehingga terpaksa gulung tikar ketika pengadu mencecah usia 23 tahun.

Turut terkena tempias kerana perniagaan tersebut didaftarkan atas namanya, lelaki itu dikenakan tindakan saman sebanyak RM100,000 sebelum diisytiharkan muflis.

Sudah sedekad berlalu, pemuda berkenaan juga sempat meluahkan rasa terkilan apabila bapanya tergamak bersikap lepas tangan selepas dirinya diisytihar muflis.

Berjaya menyita perhatian ramai, perkongsian tular berkenaan dikongsi menerusi laman kumpulan Facebook yang menggunakan nama Muflis Bankrap di Malaysia.

“Ayah buka perniagaan guna nama saya ketika umur 18 tahun. Perniagaan lingkup, kena saman RM100,000 dan saya diisytiharkan muflis. Bankrap masa umur 23 tahun.

“Sekarang umur 33 tahun, sudah 10 tahun berlalu. Ayah sendiri buat tak faham. Bila jumpa mak ayah, mak cuma minta banyakkan bersabar. Ini dugaan, Allah nak uji.

“Ayah yang menjadi punca tetapi lepas tangan macam itu sahaja. Sebagai anak, saya betul-batul rasa macam kena khianat dengan ayah sendiri,” kongsinya.

Lebih memburukkan keadaan, pengadu turut mengalami pelbagai kesukaran untuk melakukan urusan peribadi setelah diisytihar muflis seperti pembelian rumah.

“Sekarang nak beli rumah tak boleh, nak pergi luar negara semua tak boleh. Rasa menyesal juga sebab percaya dan biarkan ayah sendiri buat macam ini.” Luahnya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna yang bersimpati dengan nasib lelaki tersebut tampil memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah itu.

Selain menyediakan modal yang cukup bagi melantik peguam, pemuda tersebut juga disarankan untuk memohon bantuan daripada pihak Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Ada 1,001 cara nak lepas daripada muflis. Tapi iyalah, kena ada modal juga nak lantik peguam. Usahalah sedikit daripada tak ada perubahan,” kongsi seorang pengguna.

“Saya pernah dikhianati abang kandung sendiri sampai muflis. Jadi saya faham. Pergi Insolvensi, jangan culas bayar. Saya tak ada sekatan untuk keluar negara.” Kata pengguna lain.

Baca juga: Hubungan dengan tunang ‘misteri’ renggang, Azri Iskandar sedang mengenali wanita lain