Pelakon sensasi, Rita Rudaini sebelum ini pernah mendedahkan bahawa dirinya telah menerima gangguan ilmu hitam iaitu sihir.
Masih trauma dengan kejadian itu, Rita Rudaini mengaku dirinya kini lebih selesa berkawan dengan kedua-dua orang anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Wanita yang berusia 47 tahun itu memilih untuk bersendirian dan meluangkan masa bersama dua anak teruna berkenaan kerana enggan kisah lama berulang kembali.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pelakon yang popular dengan filem Mami Jarum itu turut mengecilkan ‘circle’ pertemanan namun terbuka berkenalan dengan orang lain.
Belum bersedia untuk memiliki ‘kawan rapat’, anak kelahiran Perlis itu bagaimanapun tidak menolak berkenalan dengan individu yang boleh menerima teguran dan tidak cepat sentap.
Tular di media sosial, pendedahan itu dibuat Rita Rudaini menerusi satu sesi temu bual bersama program Melodi di mana rakamannya dimuat naik di laman TikTok.
“Sejujurnya saya sekarang dah kecilkan circle. Saya berkawan dengan anak-anak. Biarlah orang nak kata saya tak berkawan dengan orang, tak apa. Itu adalah saya.
“Serik untuk ada kawan baik. Sudahlah, saya tak berani. Pengalaman lalu itu pahit. Baik dengan kita, tetapi boleh tukar jadi musuh paling dahsyat. Banyak saya belajar daripada berkawan.
“Bila berkawan kena macam ini, macam itu. Benda itu menyakitkan tau. Jadi lebih baik saya sendiri, jaga anak-anak. Buat apa-apa untuk kerjaya saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Rita Rudaini mengakui masih menerima gangguan selepas terkena ilmu sihir pada tahun lalu namun enggan mengambil pusing mengenai masalah tersebut.
Tidak mendedahkan sekiranya dirinya telah menerima rawatan ataupun tidak, Rita Rudaini hanya memberitahu bahawa amalan zikir telah menjadi rutin harian dalam hidupnya.
“Memang benda (sihir) itu masih ada, saya tak nak fikir. Hari-hari saya amalkan zikir. Orang nak buat saya, lantaklah saya tak boleh tahan orang nak dengki dengan saya.” Ulas Rita Rudaini lagi