Guna plastik sampah buat pelampung, lelaki disebat dan dipenjara lepas berenang dari Malaysia ke Singapura

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang lelaki berjaya berenang dari Malaysia ke Singapura dengan hanya menggunakan plastik sampah sebagai pelampung.

Bertekad mencari rezeki untuk menanggung keluarganya, Muhammad Izal mulanya menaiki feri dari Batam, Indonesia menuju ke Stulang Laut di Johor Bahru, Malaysia.

Setelah menghabiskan masa selama dua malam di Johor, lelaki kelahiran Indonesia itu kemudian menuju ke arah pantai sebelum berenang ke Pulau Ubin, Singapura.

Hanya menggunakan beg sampah hitam sebagai alat pengapungan, Izal sempat berehat selama setengah jam di Pulau Ubin sebelum sambung berenang ke Pantai Changi.

Izal akhirnya berjaya memasuki Singapura tanpa dikesan dan tinggal secara haram di Singapura untuk bekerja selama kira-kira 10 bulan sehingga 23 Oktober tahun ini.

Difahamkan, helah Izal hanya mula terbongkar setelah ditahan oleh pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura di Woodlands Road.

Hal ini kerana, Izal gagal mengemukakan sebarang bukti menunjukkan dirinya tinggal secara sah di Singapura sebelum dirujuk ke cawangan penyiasatan ICA, lapor CNA.

Hasil siasatan pegawai ICA mendapati, cap jari milik pemuda berkenaan dikesan kepada seseorang yang mempunyai ‘rekod buruk’ di bawah nama Muhammad Izal.

Menerima padah akibat perbuatannya sendiri, Muhammad Izal dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan dan sebatan sebanyak tujuh kali oleh mahkamah, kelmarin.

Izal mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Singapura tanpa pas sah dan memasuki Singapura tanpa kebenaran setelah dihantar pulang ke negaranya pada Mei 2022 lalu.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Izal rupa-rupanya pernah didakwa di Singapura sebanyak empat kali atas kesalahan imigresen memasuki negara itu secara haram.

Kali terakhir didakwa pada Ogos 2021, Izal disabitkan kesalahan pada September tahun sama dan dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan enam sebatan.

Setelah dibebaskan dari penjara pada April 2022, Izal kemudian dirujuk kepada ICA dan diberi notis bertulis sebelum dihantar pulang ke Indonesia pada 28 Mei 2022.

Menerusi notis itu, Izal dilarang masuk Singapura dari tarikh pengusiran dan perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari Pengawal Imigresen untuk berkunjung ke negara itu pada masa hadapan.

Izal yang meletakkan cap jari ibunya di notis itu dimaklumkan bakal berdepan dengan hukuman penjara satu hingga tiga tahun jika sabit kesalahan jika melanggarnya.

Selepas hampir tujuh bulan tinggal di negara asalnya, Izal mengambil keputusan untuk pulang semula ke Singapura secara haram untuk mendapatkan pekerjaan.

Terdahulu dalam rayuannya, Izal mengaku telah menyesali perbuatannya dan memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai anak dan ibu bapa yang sakit.

Baca juga: Tular kanak-kanak berkahwin di usia muda, rupa-rupanya dah remaja, tapi tetap bawah umur