Tak tahu sejarah Malaysia tapi sibuk komen, Uyaina Arshad sekolahkan netizen Indonesia

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad berjaya menyita perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman video di akaun Instagram miliknya.

Menerusi rakaman tersebut, Uyaina tampil menyelar tindakan rakyat Malaysia yang masih bersikap neutral terhadap penderitaan dialami oleh rakyat Palestin ketika ini.

Oleh yang demikian, wanita berusia 31 tahun itu meminta masyarakat mengimbau kembali nyawa pahlawan terkorban akibat pemberontakan menentang penjajah.

Situasi itu disamakan dengan kejadian yang menimpa Palestin di mana rakyatnya sedang menghadapi penjajah iaitu pemerintahan daripada negara haram, Israel.

Tular di media sosial, status Uyaina sebagai selebriti yang popular di Indonesia itu sekaligus menyebabkan hantarannya menjadi tumpuan rakyat negara berkenaan.

Salah seorang pengguna media sosial asal Indonesia kemudian tampil berkongsi pandangannya mengenai kemerdekaan Malaysia di ruangan komen hantaran itu.

Berpendapat bahawa kemerdekaan yang diperoleh negara kita adalah ‘pemberian’ penjajah, individu itu turut berpandangan bahawa Hamas dan Israel perlu berdamai.

Tidak hanya berdiam diri, pengacara Wanita Hari Ini itu mempertahankan pejuangan pahlawan terdahulu yang gugur demi memperoleh kemerdekaan daripada penjajah.

“Saya lebih tahu sejarah negara saya. Sebelum diberi kemerdekaan Tanah Melayu, berapa banyak darah orang yang memberontak menentang penjajah telah gugur?

“Yang kamu lihat cuma ‘pemberian’ menerusi diplomasi? Memang itu yang membezakan cara Malaysia dan Indonesia mendapatkan kemerdekaan negara masing-masing.

“Tetapi darah prajurit tanah airku yang pernah gugur jangan kau diamkan. Jangan ajar tentang sejarah negaraku sebagaimana aku tidak pernah mengajar kamu tentang sejarah negaramu,” katanya.

Mengundang pujian, balasan komen Uyaina itu sedikit sebanyak berjaya memuaskan hati pengguna media sosial tempatan yang berang dengan kata-kata individu tersebut.

Tangkap layar komen Uyaina itu turut tersebar selepas dikongsi menerusi ciapan yang dimuat naik oleh pengguna platform X yang menggunakan akaun @aixffir.

Rata-rata pengguna didapati memuji tindakan Uyaina dalam mendidik orang awam selain melabelkan pelakon drama Love Elsa itu sebagai wanita ‘beauty with brain’.

Hal ini berikutan setiap bait yang keluar daripada mulut Uyaina memang berpandukan ilmu di dada sekaligus mencerminkan latar belakang pendidikan pengacara tersebut.

Baca juga: Irene Deanna akhirnya jawab dakwaan gosip cinta dengan Syamsul Yusof, “kami sekadar kawan biasa”