Tak perlu risau tertelan lintah, ini cara mudah tanam sendiri kangkung di rumah – “Dijamin bersih!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Sayur kangkung merupakan salah satu jenis tumbuhan yang diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira umur mahupun bangsa.

Tidak hanya ditawarkan dengan harga yang murah, sayuran kangkung ini sungguh enak dimakan terutamanya apabila ditumis bersama belacan dan juga ikan masin.

Namun begitu, ada segelintir individu turut merasa sangsi untuk memakan kangkung kerana khuatir akan kebersihan tumbuhan yang hidup di kawasan parit dan paya itu.

Hal ini dipercayai berpunca daripada keadaan batang sayuran itu yang berongga hingga menimbulkan kemungkinan bahawa ulat atau telur lintah hidup di dalamnya.

Menyedari kegusaran orang ramai, seorang pengguna Facebook tampil membuat perkongsian mengenai kaedah menanam sendiri kangkung di rumah dengan mudah.

Bahan-bahan yang diperlukan

  • Baldi
  • Penapis
  • Biji benih kangkung
  • Plastik atau kain hitam

Langkah-langkah menanam

1. Rendamkan biji benih kangkung selama semalaman atau lebih dengan menggunakan air biasa.

2. Apabila sudah mula bercambah atau mengeluarkan akar, biji benih boleh dimasukkan ke dalam penapis yang disediakan.

3. Pastikan penapis yang digunakan mempunyai lubang kecil bagi mengelakkan benih kangkung jatuh ke bawah.

4. Masukkan biji benih yang sudah mempunyai akar ke dalam lubang penapis supaya ia boleh mencapai air.

5. Kemudian letakkan penapis di bahagian ‘mulut’ baldi yang telah diisi dengan air sebanyak tiga perempat baldi.

6. Tutup penapis yang berisi anak benih dengan kain atau plastik hitam selama lebih kurang dua hingga tiga hari.

7. Perkara ini dilakukan dengan bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan kangkung berlaku dengan lebih cepat dan panjang.

Apabila anak pokok kangkung sudah kelihatan bercambah dari biji benih, tanaman sudah boleh diletakkan di ruangan yang terdedah kepada cahaya matahari.

Takungan air di dalam baldi itu tidak perlu ditukar, sebaliknya penanam boleh menambahkan baja pokok untuk menggalakkan lagi pertumbuhan sayuran tersebut.

Kangkung yang sudah dewasa boleh mula dipetik atau dituai dan hasil diperoleh dijamin lebih bersih berbanding sayuran dibeli di pasaran.

Baca juga: Tolak majlis kahwin besar-besaran, pasangan pengantin pilih derma duit ke tabung amal