Shuib disindir lagi, berkerusi roda lepas dihimpit kontroversi?- “Wayang pacak..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak sensasi, Shuib kembali menjadi topik perbincangan hangat baru-baru ini selepas memuat naik sekeping gambar di laman Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian tersebut, Shuib yang juga penyampai radio itu tampil berkerusi roda sambil ditolak isterinya, Watie Hanafiah di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Berada dalam keadaan baik, ahli perniagaan berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai punca dirinya dirawat di pusat perubatan berkenaan.

“Tulang belakang saya, @iamwatie. Alhamdulillah keadaan semakin baik. Terima kasih yang mendoakan,” tulis Shuib dengan ringkas di ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai rakan artis tampil mendoakan agar usahawan selebriti tersebut dikurniakan kesembuhan dengan segera.

Namun, pengguna media sosial tempatan tidak melepaskan peluang mengkritik dan menyindir Shuib yang secara kebetulan jatuh sakit ketika dirinya dihimpit kontroversi.

Bukan itu sahaja, ada juga individu berseloroh bahawa Shuib meniru artis negara luar yang akan tampil dengan cara sama bagi meraih simpati selepas membuat kesalahan.

“Fuh, ini tiru cara artis Korea setiap kali ada kontroversi. Tetapi sepatutnya pakai ‘neck guard’ (pendakap leher) lagi meyakinkan,” kata seorang pengguna.

“Hidup tunjuk sangat bermewah. Sekali kwsp (caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk pekerja sangkut. Allah sudah bagi peringatan,” kongsi pengguna lain.

“Wayang pacak..bayarlah oi duit orang.” Tulis seorang individu yang berang dengan tindakan Shuib yang gagal mencarum KWSP buat pekerja syarikatnya, Bubble Bee.

Shuib sebelum ini mengaku, syarikat rangkaian minuman yang diasaskannya iaitu Bubble Bee kini sedang berhadapan dengan masalah pengurusan kewangan.

Masalah ini dipercayai menjadi punca berlakunya kelewatan pembayaran caruman KWSP kepada kakitangan syarikat berkenaan bermula daripada awal tahun ini.

Difahamkan, syarikat Bubble Bee kini sedang berunding dengan pihak KWSP agar tunggakan caruman tersebut dapat dibayar secara berperingkat atau ansuran.

Penjelasan itu dimuat naik di akaun TikTok milik Shuib susulan surat layang mengenai kegagalan syarikatnya membayar KWSP pekerja tular di platform yang sama.

Baca juga: Dituduh sailang kekasih Merqeen, Amir Ahnaf perjelas tidak pernah rampas Anna Jobling dari sesiapa