Cinta akhirnya berputik selepas lebih 30 tahun, Nazir Razak selamat bernikah kali kedua

Oleh WAN SITI AMINAH

Adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Tan Sri Mohamed Nazir Razak mencuri tumpuan ramai selepas membuat perkongsian di media sosial.

Berkongsi khabar gembira, Nazir Razak memuat naik sekeping gambar memaparkan dirinya menyarung cincin kepada wanita yang kini menjadi isterinya, Yati Zainuddin.

Menurut bekas Pengerusi CIMB Bhd (CIMB) itu, mereka berdua sebenarnya mula berkenalan ketika sama-sama belajar di United Kingdom (UK) sekitar tahun 1980-an lalu.

Walau bagaimanapun, segala usaha Nazir untuk menjalinkan hubungan dengan Yati yang juga ahli perniagaan itu gagal dan mereka berdua hanya kekal sebagai kawan.

“Saya kahwin hari ini dan menjadi suami kepada Yati Zainudin. Kehidupan sangat sukar diramal. Kisah kami teringat kembali pertemuan pada pertengahan 1980-an.

“Kami berdua belajar di UK. Walaupun saya berusaha sedaya upaya (dapatkan Yati), kami hanya kekal sebagai kawan. Kami kemudian menjalani kehidupan berasingan.

“Dia di New York selama 27 tahun. Saya tidak pernah bermimpi bahawa perjalanan kami akan bertembung kembali, lebih-lebih lagi pada masa ini (tua),” tulisnya di ruangan kapsyen di Instagram.

Tokoh perbankan negara itu juga menzahirkan rasa syukur kerana takdir mempertemukan mereka berdua untuk membina kehidupan baharu sebagai pasangan suami isteri.

Mengulas lanjut, Nazir Razak menerusi hantaran sama turut memaklumkan bahawa majlis akad nikahnya bersama Yati berlangsung dengan lancar pada pagi semalam.

“Kami amat bersyukur kepada Allah SWT atas peluang ini. Kami adakan majlis akad nikah pada pagi tadi (semalam). Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang memberi ucapan.” Ulasnya.

Terdahulu, khabar mengenai pernikahan kedua Nazir Razak itu mula tular di media sosial selepas dikongsi oleh anak saudaranya yang juga anak Najib, Norashman.

Untuk rekod, Nazir pernah berkahwin dengan Puan Sri Azlina Aziz dan dikurniakan dua orang cahaya mata, namun pasangan itu difahamkan telah berpisah pada tahun ini.

Baca juga: Ini keadaan terkini Ebby Yus, bekerja walau sakit tenat demi tampung kos pembedahan