Hasrat seorang lelaki untuk melangsungkan perkahwinan tidak kesampaian apabila bakal pengantin itu dihukum penjara kerana gagal membayar denda RM2,000.
Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh, Nordin Ahmad Maat mengaku bersalah atas kesalahan memecah tabung surau di Bukit Mor, Parit Jawa, Muar, Johor pada minggu lalu.
Difahamkam, pergakuan tersebut dibuat oleh lelaki berusia 50 tahun itu sebaik sahaja pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret, Fatin Dalilah Khalid, lapor Berita Harian.
Tertuduh yang sepatutnya menamatkan zaman bujangnya pada bulan depan itu didakwa menceroboh surau dengan niat melakukan jenayah pada jam 11.31 malam, 9 November lalu.
Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dilaporkan memasuki surau terbabit untuk mencuri duit di dalam tabung sebelum perbuatannya berjaya dikesan oleh seorang kariah surau.
Pengadu yang melihat kejadian itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit kemudian memanggil rakannya sebelum berangkat ke surau tersebut.
Setelah sampai di tempat kejadian, kariah masjid tersebut ternampak ada sebuah motosikal di parkir di hadapan surau sebelum tertuduh menyedari kehadiran mereka.
Tertuduh kemudian bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar belakang surau sebelum ditahan untuk tindakan lanjut selepas pengadu membuat laporan polis.
Siasatan mendapati tertuduh mempunyai empat rekod lampau pada 2019, iaitu dua rekod bagi Seksyen 411 manakala Seksyen 448 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan, masing-masing satu kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Norain Sakina Zakri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah memutuskan tertuduh disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh sabitan iaitu semalam serta denda RM2,000 selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak.
Tertuduh juga diarahkan mahkamah untuk menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya jika gagal membayar denda yang telah ditetapkan.