Baru mendarat dari AS dah pergi mesyuarat Parlimen, “mana datang tenaga Anwar ni?” – netizen

Oleh WAN SITI AMINAH

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Persidangan Dewan Rakyat pada pagi ini telah berjaya mencuri tumpuan ramai.

Mana tidaknya, Ahli Parlimen Tambun itu baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat (AS) untuk menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023.

Tindakan Anwar yang bersungguh dalam menjalani tanggungjawabnya sebagai pemimpin telah menuai pujian terutamanya di kalangan pengguna media sosial.

Seperti dikongsikan oleh seorang pelayar X yang meluahkan rasa kagum apabila Anwar berjaya hadir ke sesi sidang Parlimen pagi meskipun baru mendarat di tanah air.

“Pukul 5 pagi tadi baru sampai dari AS, pukul 10 pagi sudah ada di Parlimen. Ingatkan jet lag sehari dua dahulu. Tetapi sudah terus masuk kerja. 

“Yang ambil gaji pun tak kerja (kuat) seperti ini. Ya Allah, Engkau permudahkanlah segala urusan Perdana Menteri kami dunia dan Akhirat. Amin,” ciapnya.

Terdahulu, Anwar yang berangkat ke San Francisco, AS pada minggu lalu itu turut menyertai Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC di University of California, Berkeley.

Dalam sidang tersebut, Anwar menyampaikan satu syarahan umum bertajuk ‘Superpower rivalry and rising tensions in the Asia-Pacific: The view from Southeast Asia‘.

Menurutnya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman orang awam, rumah dan hospital, kekejaman terhadap wanita serta kanak-kanak yang melibatkan nyawa orang awam tidak bersalah di Gaza. 

Mesej yang disampaikan oleh Anwar itu adalah mudah dan jelas, iaitu pembunuhan serta kekejaman di Gaza, Palestin perlu dihentikan segera dan tidak ada pilihan lain lagi.

Selain Malaysia, negara Brunei dan Indonesia turut menyentuh isu konflik di Timur Tengah itu daripada 21 ekonomi yang menyertai APEC 2023, minggu lalu.

Ketiga-tiga negara memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan berasingan pada penghujung Minggu Pemimpin APEC 2023 bagi menggesa gencatan senjata di Gaza. 

Ia susulan Ekonomi APEC yang gagal mencapai kata sepakat mengenai perenggan dicadangkan AS berhubung isu geopolitik melibatkan Rusia dan Ukraine, namun tidak menyentuh tentang Gaza.

Baca juga: Kantoi keluar bersama, cinta Syafiq Kyle dan Mimi Lana kembali bertaut? – “Tak jadi nak order brownies!”