Tertekan dengan isu Palestin, Neelofa akui bekalan susu badan terjejas akibat gangguan emosi

Oleh WAN SITI AMINAH

Selebriti sensasi, Neelofa memaklumkan dirinya kini mengalami tekanan akibat mengikuti perkembangan isu semasa melibatkan rakyat Palestin.

Bahkan bekalan susu badannya juga dikatakan terjejas akibat sering melihat bukti kekejaman tentera Israel yang mengakibatkan rakyat Palestin cedera dan terkorban.

Oleh yang demikian, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor itu memutuskan untuk mengubah kaedahnya bagi menyebarkan kesedaran kepada orang awam.

Sebelum ini, usahawan berusia 34 tahun itu sering memuat naik kandungan yang menunjukkan keperitan dialami penduduk Gaza terutamanya kanak-kanak dan wanita.

Khuatir sekiranya bekalan susunya terus menurun, pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu hanya akan berkongsi kandungan yang berbentuk pendidikan sahaja selepas ini.

“Selepas sebulan aktif memuat naik hantaran mengenai keadaan di Gaza, saya kini memilih kandungan berbeza. Kalau dulu muat naik video kanak-kanak dan wanita.

“Sekarang, saya lebih kepada (berkongsi) kandungan pendidikan untuk suntik kesedaran kekejaman dilakukan Zionis. Sebab tekanan ini memberi kesan kepada bekalan susu saya.

“Sebagai ibu yang menyusu bayi berusia empat bulan, penurunan jumlah besar dalam bekalan setiap hari memberi kesan kepada anak saya,” katanya.

Perkara tersebut didedahkan Neelofa baru-baru ini menerusi satu sesi temu bual yang dimuat naik di laman Instagram milik media hiburan tempatan, Hib Glam.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu turut menitipkan pesanan kepada wanita yang bergelar ibu di luar sana agar menjaga kesihatan diri sendiri demi kebaikan anak.

“Jadi ibu-ibu di luar sana, kalau mahu sokong atau sebarkan kesedaran (mengenai Palestin) haruslah memikirkan tentang keadaan anak yang menyusu terlebih dahulu.

“Bukan saya suruh abaikan ataupun tidak buat hantaran tetapi pilih kandungan yang tidak beri kesan kepada emosi.” Jelas Neelofa lagi.

Neelofa adalah antara salah seorang selebriti tempatan yang sering berkongsi kesedaran baru-baru ini mengenai isu dihadapi rakyat Palestin di platform sosial media miliknya.

Baca juga: Pernah teruk dikecam sebab tiada mesin basuh, Ina Naim dedah arwah suami derma ia kepada jiran lebih susah