Tan Sri Mahiaddin Yassin membatalkan niatnya untuk bersara bagi mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pemilihan akan datang.
Menurutnya, perubahan keputusan itu tidak dipengaruhi oleh perhimpunan agung, sebaliknya satu ‘kuasa besar’ yang berjaya memujuknya untuk terus memimpin parti tersebut.
Bakal bertanding untuk satu lagi penggal yang dianggap terakhir, kuasa besar dimaksudkan Mahiaddin ini tidak lain tidak bukan ialah isterinya sendiri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Perkara tersebut didedahkan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam akhir ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen IDCC, semalam, lapor Utusan Malaysia.
“Sebenarnya saudara, kuasa yang paling besar saya hendak sebutkan dekat sini bukan perhimpunan agung, kuasa besarnya tidak bukan adalah isteri saya.
“Isteri saya hadir sejak beberapa hari lepas dan semalam duduk sampai akhir. Dia hantar mesej minta saya kekal untuk satu penggal lagi. Katanya, jangan kecewakan mereka (ahli). Bersatu masih perlukan awak.
“(Parti) masih belum kuat. Jadi saya jawab pada dia, saya akan kekal untuk satu penggal terakhir. Dia jawab, Alhamdulillah. Isteri kata ini untuk bangsa dan negara, abah must stay on,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu menimbulkan kekecohan pada Jumaat lalu selepas menyatakan hasrat untuk tidak bertanding bagi jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti pada tahun hadapan.
Pemimpin yang lebih mesra dikenali sebagai Muhyiddin itu turut menafikan bahawa pengumuman untuk berundur dalam ucapan dasarnya kelmarin adalah gimik yang sengaja dicetuskan.
Sebaliknya, dirinya sudah bersedia untuk mewariskan kepemimpinan parti kepada pelapis baharu bagi meneruskan perjuangan Bersatu.
Baca juga: Boleh rawat diabetes? Tak sangka ini rupanya khasiat telur burung puyuh