Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini telah menyita sebuah ambulans yang dimiliki oleh satu agensi perkhidmatan penyelamat kecemasan.
Difahamkan, kenderaan tersebut disita kerana sudah tidak mempunyai perlindungan insurans dan juga Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan selama 13 tahun.
Kesalahan itu akhirnya terbongkar setelah ambulans ditahan anggota JPJ Perak dari Unit FALCON Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) di Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh.
Hasil semakan anggota yang membuat rondaan tersebut mendapati, cukai jalan dan perlindungan insurans ambulans berkenaan sudah tamat tempoh sejak 5 Mac 2010.
Penahanan dibuat pada 28 November lalu dan perkara tersebut dikongsi JPJ Perak menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi milik jabatan itu.
“Ketika penahanan dan pemeriksaan dilakukan, terdapat seorang pesakit di dalam ambulans berkenaan untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Anggota JPJ mengarahkan pemandu untuk menghantar pesakit ke hospital terlebih dahulu sebelum membawa kenderaan itu ke ibu pejabat JPJ Negeri Perak,” katanya.
Jelasnya, ambulans berkenaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala notis JPJ(P) 22 bagi dua kesalahan itu turut dikeluarkan.
Susulan kenyataan tersebut dimuat naik, rata-rata pengguna media sosial memberikan pujian dan berharap JPJ terus memeriksa kenderaan milik agensi swasta lain.
“Tolong periksa lagi ambulans-ambulans swasta lain. Mana tahu ada lagi yang tiada cukai jalan. Deme ingat deme raja jalanan,” kata seorang pengguna memberi cadangan.
“Pergh, dari 2010! Selepas ini harap JPJ periksa semua kenderaan tidak kira sumber dari mana.” Ulas pengguna lain yang turut berkongsi pandangan serupa.
Baca juga: “Jahatnya mulut!” – Wawa Zainal berang ada masuk ‘live’ tanya bila nak cerai