Sudah menjadi kebiasaan restoran di luar negara di mana pelanggan akan diberikan ganjaran tunai sekiranya menghabiskan kesemua makanan dalam masa ditetapkan.
Namun restoran di Britain ini meraih perhatian ramai selepas menolak untuk membayar hadiah wang tunai berjumlah £50 (RM294) kepada seorang pelanggan.
Cattlemans Steakhouse di Devon menawarkan sepinggan hidangan stik bakar campur yang mempunyai daging lembu seberat 567 gram dan 340 gram daging babi.
Turut disertakan empat sosej, tiga kepak ayam, sepotong isi ayam dan burger keju seberat 170 gram.
Menurut Daily Star, pelanggan dikenali sebagai Dan berjaya menghabiskan hidangan stik bakar dalam satu pertandingan namun tidak makan salad yang turut disediakan.
Disebabkan itu Cattlemans Steakhouse, menganggap Dan tidak layak dikira pemenang kerana gagal menghabiskan semua makanannya.
“Ia mudah. Cabaran itu adalah untuk makan dan menghabiskan semua makanan,” kata pemilik restoran, Gary King.
Pada masa sama King memaklumkan bahawa Dan tidak memaklumkan terlebih awal keengganan untuk makan salad.
“Jika dia memberitahu bahawa dia tidak makan salad dari awal lagi, kami boleh meletakkan lebih banyak kentang goreng atau gegelung bawang pada pingannya,” jelasnya.
Bagaimanapun penjelasan pihak restoran tidak diterima orang ramai kerana Dan tidak menjamah makanan sampingan dan sudah menghabiskan makanan utama.
“Restoran tersebut cuba menipu. Salad tidak sepatutnya berada di situ,” kata seorang netizen.
Baca juga: Pelakon senior wanita didakwa ganggu rumahtangga orang, pengadu beri hint “pandai menangis depan tv”