Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menegaskan bahawa parti itu akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan ini diambil bagi memperkukuhkan dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Umno juga bersepakat menguatkan asas kerjasama yang dipersetujui bersama antara semua parti yang terlibat dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, lapor Astro Awani.
Menurut Asyraf Wajdi, kata putus dalam mesyuarat MKT ini adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Mesyuarat memperakukan bahawa semua Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Umno akan terus mendukung pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Perakuan ini sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 24 November 2022 dan diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari 2023,” kata Asyraf memetik laporan Astro Awani.
Dalam mesyuarat yang sama, Umno juga dikatakan telah mengambil keputusan untuk memecat seorang ahli MKT, iaitu Isham Jalil daripada parti itu dengan serta-merta.
Perkara tergempar ini didedahkan oleh salah seorang ahli MKT yang turut menghadiri mesyuarat yang telah diadakan di Menara Dato’ Onn, pada malam Rabu (semalam).
Walau bagaimanapun, memetik laporan Sinar Harian, ahli MKT yang mendedahkan perkara tersebut kepada media enggan namanya disebut untuk pengetahuan umum.
“Dia (Isham) dipecat,” katanya dengan ringkas selepas mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu berakhir sekitar jam 10 malam.
Mengulas lanjut, sumber berkenaan mendakwa bahawa pemecatan itu diputuskan setelah parti mendapati Isham Jalil melakukan pelbagai kesalahan terhadap Umno.
Bukan itu sahaja, Isham juga bertindak tidak menghadirkan dirinya dalam mesyuarat MKT sebanyak empat kali termasuk semalam sebagai tanda protes kepada parti.
“Kesalahan dia banyak, dia suruh presiden dipecat dan letakkan jawatan. Dia kata UMNO, dia tak ikut keputusan parti, dia ajak presiden berdebat secara terbuka.
“Dan ini, saya rasa (mesyuarat) yang keempat dia tidak hadirkan diri.” Ulas sumber itu lagi.