Siapa sangka, seorang ibu tunggal sanggup meninggalkan cahaya matanya sendiri di pusat jagaan hanya kerana bakal suaminya enggan menerima kanak-kanak itu.
Bukan cerita rekaan, kejadian itu diceritakan semula oleh pemilik Rumah Kebajikan An-Naafi yang dikenali sebagai Kak Cha menerusi satu hantaran di akaun TikToknya.
Menurut Kak Cha, wanita yang berstatus ibu tunggal tersebut menghubungi telefon bimbitnya dengan tujuan untuk menyerahkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.
Ibu tunggal itu memaklumkan, dirinya bakal berkahwin lagi pada bulan depan namun bakal suaminya itu enggan membesarkan anak yang datang daripada ‘benih lain’.
“Kak Cha dapat panggilan pagi-pagi. Pemanggil cakap nak hantar anak. Kak Cha tanyalah, anak umur berapa? Dia kata 10 tahun, maknanya anak itu darjah empat.
“Katanya bulan Januari nak nikah baru. Masalahnya bakal suami tak suka dengan anak. Sebab dia cakap bukan benih dia. Macam biasalah, budak-budak kan nakal.
“Jadi, bakal suami tak suka. Padahal suami itu belum tentu lagi dia akan setia. Esok kau tua, dia kahwin lain. Siapa pula nak jaga kau nanti?,” cerita Kak Cha bersungguh.
Gagal memahami cara ibu tunggal itu berfikir, Kak Cha bengang mengapa wanita tersebut mengikut telunjuk lelaki yang enggan menanggungnya selepas berkahwin.
Sebelum mengakhiri perbualan, Kak Cha akhirnya menolak permohonan ibu tunggal yang tergamak mahu meninggalkan anak kandung sendiri di pusat jagaan miliknya.
“Saya tanya, puan bekerja ke? Dia kata kerja dan tak boleh berhenti lepas kahwin sebab kos hidup tinggi. Saya terfikir, kenapa pilih berkahwin lain dan hantar ke pusat jagaan atau rumah kebajikan?
“Sedangkan, kahwin esok kau kena kerja juga. Lelaki itu pun tak mahu tanggung kau sepenuhnya. Bakal suami kena terimalah kau janda, kena terima yang kau ada anak.
“Ini benih awak kandung sembilan bulan 10 hari. Bawa perut kehulu-kehilir. Ke mana naluri seorang ibu? Kak Cha terus cakap Kak Cha tak boleh terima,” kongsinya lagi.
Dalam perkongsian sama, Kak Cha sempat memberi pesanan kepada ibu bapa lain di luar sama agar menghargai anak dan terus bersabar untuk membesarkan mereka.
“Betul, kadang-kadang anak ini nakal. Tetapi mana ada budak yang tak nakal. Kau kecil nakal, aku kecil pun dulu nakal. Cuma anak sekarang mungkin lebih berbeza.
“Kadang bila anak memberontak, kau pilih lebihkan orang lain, bakal suami. Pastu tua nanti cakap anak derhaka. Tetapi kita sebagai ibu bapa, sudah derhaka dulu pada anak. Jangan ingat anak sahaja boleh derhaka.
“Anak ini pertalian darah sampai mati. Suami boleh cari lain. Saya minta maaf kalau mengecilkan hati.” Ujar Kak Cha dengan harapan pengikutnya mendapat pengajaran.
Baca juga: “Kami nak penonton enjoy the show”, ini respon pelakon lepas babak bercium dikritik hebat