Belum bersedia daftar pengesahan rujuk, Diana Danielle masih perlu sedikit masa

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, pasangan pelakon iaitu Diana Danielle dan Farid Kamil rupa-rupanya masih belum mendaftarkan pengesahan rujuk mereka di Mahkamah Syariah.

Tidak menganggap pendaftaran tersebut sebagai satu keperluan, perkara ini telah didedahkan sendiri oleh Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson.

Menurut Diana, pendaftaran itu juga tidak mengubah hubungannya bersama Farid memandangkan mereka sudah kembali menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

So, whats the point (Apa keperluannya)? Perkara itu tidak penting sebab kami sudah secara rasmi rujuk. Saya tak rasa itu adalah satu keperluan. Atas kertas sahaja pun.

“Kami sudah rujuk secara rasmi dan tukar di atas kertas pun tidak mengubah apa-apa pun. Tetapi ini bukannya bermaksud kami tidak mahu failkan ia di mahkamah.

“Namun perkara itu hanyalah satu proses lain bagi menukar semuanya secara rasmi sahaja,” katanya dalam sesi temu bual yang dikongsi di laman Instagram milik HibGlam.

Belum bersedia hadir ke mahkamah dalam tempoh terdekat, bintang filem Imaginur itu mengakui dirinya dan suami masih perlukan sedikit waktu bagi menguruskannya.

“Nanti kalau sudah bersedia, kami akan lakukan (daftar pengesahan rujuk). Lainlah kalau saya cakap tidak pernah jadi (rujuk), maka akan berlakulah konflik di situ.

“Semua orang pun sudah tahu kami telah rujuk. Jadi secara hukum Islam, kami tidak melanggar apa-apa. Cuma secara undang-undang sahaja belum (rasmi rujuk).

“Buat masa ini, kami mahu mengambil nafas dahulu. Kami sekarang macam, ala nak ke mahkamah lagi ke? Sekejap ya.” Jelas pelakon Janji Diana itu mengulas lanjut.

Peguam syarie yang mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader Farid sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pasangan itu perlu hadir ke mahkamah.

Kedatangan ke Mahkamah Syariah itu penting bagi pasangan yang kembali bersama untuk mengesahkan proses rujuk semula dan juga mendapatkan sijil rujuk.

“Kalau sudah rujuk, mereka tetap perlu ke Mahkamah Syariah untuk disahkan dan barulah sijil rujuk akan dikeluarkan. Jika tidak, pihak berkuasa tidak iktiraf rujuk pasangan itu.” Ulas Akberdin.

Terdahulu, pasangan sensasi ini mula mencuri tumpuan setelah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.

Mereka bagaimanapun kembali mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan telah rujuk semula sebagai suami isteri pada 31 Ogos iaitu selepas 21 hari bercerai.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora yang kini berusia 8 tahun.

Baca juga: “Kami nak penonton enjoy the show”, ini respon pelakon lepas babak bercium dikritik hebat