Baru tahu ada petua bagi tepung melekat, ini resipi Sotong Celup Tepung dari ‘orang lama’

Oleh WAN SITI AMINAH

Pasti pembaca pernah mengalami kejadian di mana pelayan restoran menghidangkan ‘Sotong Donat’ ketika berkunjung ke kedai makanan laut.

Lain dipinta, lain pula yang dapat, pastinya ada di antara kita merasa kecewa malah marah apabila tukang masak restoran gagal memenuhi cita rasa para pelanggan.

Memang dapat dinafikan, bukan mudah sebenarnya untuk menyediakan hidangan kegilaan ramai iaitu Sotong Celup Tepung yang cukup rasa serta rangup dimakan.

Prihatin dengan kegusaran orang ramai, seorang wanita tampil berkongsi resepi rahsia ibunya untuk menggoreng Sotong Celup Tepung yang dijamin rangup dan enak.

Menerusi satu hantaran tular di laman Facebook, wanita bernama Iella Mohamad itu berharap agar perkongsian berkenaan dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

“Benda boleh masak di rumah. Buat apa susah-susah makan dekat kedai. Lagi jimat sebenarnya kalau goreng sendiri, ya dak? Ini cara saya buat Sotong Celup Tepung.

“Selamat mencuba. Semoga resepi daripada mak saya ini bermanfaat kepada anda semua,” tulis Iella di hantaran yang dikongsi melalui kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini.

Bahan-bahan:

  • Sotong (dicuci bersih dan buang kulitnya)
  • Tepung beras Cap Gajah
  • Sebiji telur
  • Sedikit air kapur
  • Sedikit garam
  • Pewarna (boleh juga guna serbuk kunyit)

Cara memasak:

1. Campur semua bahan di dalam satu mangkuk kecuali sotong. Pastikan bancuhan tidak terlalu pekat dan juga tidak terlalu cair.

2. Dalam bekas lain, gaulkan sotong dengan satu sudu tepung beras kering terlebih dahulu. Ini bagi memastikan bancuhan melekat apabila haiwan laut itu digoreng nanti.

3. Setelah selesai digaul dengan tepung beras, barulah haiwan laut tersebut boleh dimasukkan ke dalam bancuhan yang telah disediakan tadi.

4. Sotong sudah boleh digoreng. Namun, pastikan minyak betul-betul sudah panas sebelum memasukkannya ke dalam kuali.

5. Goreng sehingga keperangan dan rangup mengikut selera anda. Selamat mencuba!

“Jika mahu mengelakkan sotong meletup ketika digoreng, bersihkan dan buang kulitnya terlebih dahulu. Lapisan kulit tersebut dipercayai menjadi punca ia meletup.

“Pastikan jangan lupa untuk gaulkannya bersama tepung beras sahaja dahulu. Selepas itu, barulah masukkan ia ke dalam bancuhan pertama,” tulis wanita berkenaan.

Baca juga: Tak mahu jadikan status isteri sebagai alasan tak bekerja, Nabila Razali tetap teruskan karier