Tips goreng ikan tidak melekat, pastikan kuali betul-betul panas dan jangan lupa letak bahan ini

Oleh KIM SYAZIE

Setiap kali menggoreng ikan, tidak sah kalau keadaan dapur itu macam baru lepas berperang! Berkecah minyak di sana dan sini gara-gara ikan meletup ketika digoreng.

Bukan setakat itu sahaja, ibu-ibu pun stress melihat ikan yang melekat dekat kuali sehingga terburai isi ikan di dalam minyak gorengan itu.

Bagi mendapatkan hasil ikan goreng yang terbaik, mari ikuti perkongsian daripada Hello Doktor ini berkenaan empat tip menggoreng ikan supaya tidak melekat.

1. Basuh periuk sebersih-bersihnya

Kadang-kadang, ikan goreng melekat pada permukaan kuali kerana ia tidak dibersihkan dengan betul!

Gunakan besi penggosok yang berkualiti dan sental setiap sudut periuk supaya tidak ada bekas gorengan semalam yang masih melekat.

2. Ikan goreng masih melekat? Cuba tambah asam keping

Kalau ikan masih lagi melekat, cuba tambahkan beberapa keping asam ke dalam kuali. 

Siapa sangka, asam keping boleh mengurangkan risiko ikan meletup semasa menggoreng!

Selain itu, asam jawa pula boleh digunakan sebagai perapan ikan. Sama seperti asam keping, ia boleh mengurangkan bau hanyir ikan.

Malah, perapan asam jawa boleh buatkan isi ikan jadi lebih pejal. Jadi, tidaklah ikan meletup-letup apabila digoreng nanti!

3 Letakkan banyak minyak

Jangan kedekut semasa menuang minyak. Jika anda ingin menggoreng ikan, pastikan jumlah minyak yang digunakan cukup untuk menenggelamkan sekurang-kurangnya ½ badan ikan untuk elakkan kulitnya melekat pada kuali.

4. Pastikan minyak panas sebelum masukkan ikan goreng

Ini yang orang selalu skip semasa goreng ikan! Pastikan minyak benar-benar panas sebelum masukkan ikan. Tetapi, jangan terlalu panas pula ya!

Ikan tidak akan menjadi garing jika digoreng dalam minyak yang tidak cukup panas. Malah, besar kemungkinan, ikan akan jatuh ke bawah dan melekat pada permukaan kuali sewaktu menggoreng.

Anda boleh gunakan tip orang lama untuk tahu sama ada minyak sudah cukup panas ataupun tidak. Sebagai contoh, cuba baling beberapa biji beras atau gorengkan 1-2 keping keropok. Jika ia mengembang dengan pantas, maksudnya minyak telah sedia untuk digunakan!

5. Gunakan salutan yang betul

Sebelum menyediakan ikan goreng, ada beberapa jenis salutan yang boleh mengurangkan risiko kulit ikan melekat pada permukaan kuali.

Salutan yang pertama adalah menggunakan tepung beras. Anda boleh tambah tepung beras bersama garam dan kunyit sebelum menggoreng. Hasilnya, ikan akan jadi lebih rangup dan mudah diangkat.

Selain itu, anda juga boleh gunakan kulit bawang. Letakkan kulit bawang dalam kuali dan goreng bersama ikan. Kaedah ini juga boleh diaplikasikan semasa menggoreng ayam, sotong atau udang.

6. Ikan goreng masih melekat? Balut sahajalah dengan daun pisang

Kalau semua cara di atas tidak membantu, apa kata anda balut ikan dengan daun pisang. Tip ini amat berguna, lebih-lebih lagi jika anda menggunakan ikan yang bersaiz besar.

Malah, ikan goreng juga akan bau semerbak! Apabila cukup masak, daun pisang akan terlerai sendiri. Bau isi ikan juga lebih wangi daripada biasa.

Baca juga: Anak Zarina Zainuddin tak pandai balas mesej, putus cinta dengan gadis Indonesia