Polis nafi Zayn Rayyan didera keluarga, suspek mungkin ada rekod jenayah seksual

Oleh WAN SITI AMINAH

Pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa suspek dalam kes kematian Zayn Rayyan memiliki rekod jenayah lampau termasuk kesalahan seksual.

Justeru itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberikan jaminan bahawa satu penyiasatan menyeluruh akan dijalankan bagi menyelesaikan kes ini.

Siasatan oleh pihak polis ini termasuklah semakan terhadap rekod penjenayah yang sedia ada membabitkan penduduk di kawasan berhampiran dengan lokasi kejadian.

Bukan itu sahaja, mereka yang tiada rekod jenayah namun berada dalam perhatian pihak berkuasa turut terlibat dalam saringan dilakukan polis ini, lapor Harian Metro.

“Ia meliputi mass screening (tapisan besar-besaran) membabitkan data cap jari orang yang mempunyai rekod jenayah termasuk kumpulan yang terbabit dalam kesalahan seksual.

“Selain itu, mereka yang dalam perhatian pihak polis sama ada penduduk tempatan atau di luar kawasan, semua kita akan beri perhatian,” katanya memetik laporan Harian Metro, semalam.

Sementara itu, pihak polis turut menegaskan bahawa tiada tanda-tanda berlakunya penderaan fizikal terhadap jasad kanak-kanak autisme itu ketika ditemui Rabu lalu.

Penegasan ini dibuat susulan wujudnya segelintir pihak yang menyalahkan keluarga Allahyarham Zayn dan tergamak menyebarkan pelbagai komen negatif berhubung kes itu.

Oleh yang demikian, pihak polis meminta orang ramai supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan ahli keluarga ataupun waris Allahyarham.

Dalam perkembangan terbaharu, Datuk Hussein memaklumkan bahawa pihaknya sudah merakam percakapan lima individu bagi membantu siasatan pembunuhan ini.

Selain ibu bapa Zayn Rayyan, lelaki pertama yang menemukan mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu adalah antara lima individu terbabit dalam rakaman tersebut.

Terdahulu, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin dilaporkan hilang pada jam 12.30 tengah hari Selasa, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial serta laporan polis.

Selepas lebih 30 jam hilang, mayat mangsa ditemui dekat anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam kelmarin.

Bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) kemudian menemui kesan cedera pada leher dan tubuh Zayn yang disyaki berpunca daripada perbuatan jenayah.

Baca juga: Hadiah rumah menanti pengunjung, program Setahun Bersama Kerajaan Madani berlangsung hingga esok