Hadiah rumah menanti pengunjung, program Setahun Bersama Kerajaan Madani berlangsung hingga esok

Oleh WAN SITI AMINAH

Seramai lebih 16,000 rakyat Malaysia berkunjung ke perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menghadiri program Setahun Bersama Kerajaan Madani bermula semalam.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan sasaran kerajaan iaitu sebanyak 200,000 rakyat berkunjung ke program tersebut dijangka dapat dicapai hari ini.

Fahmi turut menyifatkan bahawa program itu berjaya mendapatkan sambutan yang menggalakkan kerana menerima kunjungan tidak putus daripada masyarakat, lapor Utusan Malaysia.

Dilangsungkan selama tiga hari, program yang bakal berakhir pada malam Ahad itu turut menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaaan kepada rakyat menerusi Karnival Kerjaya.

Antara syarikat yang terlibat ialah Affin Group, CIMB, SME Bank, Malaysia Airports, Sime Darby Plantation, Pilot Group, SME Aerospace Sdn Bhd, Senheng, Prolintas Group of Companies, Ladada Logistics dan Imperial Lexis Kuala Lumpur.

Pengunjung program juga dapat menerima manfaat daripada inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan seperti pemberian topi keledar baharu dan diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya dapat melihat beberapa reruai (booth) dan melihat sendiri keadaan di pusat media. Setakat ini saya difahamkan dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari tadi ada seramai 16,000 orang yang hadir.

“Saya juga nampak ada barisan yang agak panjang untuk bayaran saman. Jadi ini merupakan peluang baik untuk mereka mendapatkan diskaun sehingga 50 peratus.

“Saya juga sarankan terutama rakan-rakan media jika belum lagi untuk cuba sendiri bagaimana mendaftar dan selamatnya sistem MyDigital ID,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung program ini turut berpeluang mendapatkan pelbagai hadiah menarik dalam sesi cabutan bertuah yang diadakan setiap hari selama sambutan berlangsung.

Habuan menarik yang menanti pengunjung termasuklah tiket penerbangan ke Dubai; Emiriah Arab Bersatu, Istanbul, Turkiye dan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Sangat mengagumkan, pengunjung bertuah yang memenangi hadiah utama dalam sesi cabutan pada hari terakhir (Ahad) program juga bakal membawa pulang sebuah rumah.

Baca juga: Dua kali bercerai, Nadia Anuar akui serik nak kenal orang baru