Nabila Huda luah keinginan tambah anak walau usia bakal cecah 40 tahun, “kalau boleh nak dua lagi”

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon berbakat besar, Nabila Huda meluahkan keazamannya untuk mendapatkan cahaya mata biarpun usia aktres itu bakal mencecah usia 40 tahun.

Walaupun sudah mendirikan rumah tangga hampir tujuh tahun bersama Mohd Izwan Johar, Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, 39, masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. 

Anak kepada penyanyi rock Amy Search itu berkata, dia tidak pernah putus harapan agar diberikan rezeki untuk menambah cahaya mata.

“Usia bakal menginjak 40 pada tahun depan, saya rasa patut makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Itu azam 2025 dan mahu tambah anak, kenapalah susah sangat ya.

“Semoga saya dipanjang umur untuk merasa sekurang-kurangnya dikurniakan dua orang anak lagi. Kalau tak dapat dua, satu pun jadilah,” katanya dalam aplikasi X.

Bintang filem Rahsia itu mengakui, keinginan menambah zuriat anak menjadi antara doa wajibnya setiap tahun terutama ketika membuat permintaan sempena hari ulang tahun kelahiran.

Katanya, dia tidak pernah culas walau sekali untuk berdoa pada Tuhan diberikan peluang menimang cahaya mata.

“Setiap tahun orang beri kek dan minta saya berdoa. Nak anak, itulah harapan saya.

“Kalau ada empat kek, maka empat kalilah saya minta. Itu yang saya lakukan setiap tahun sejak mendirikan rumah tangga dengan Mohd Izwan.

“Belum dikira lagi doa yang saya minta setiap hari tetapi belum ada rezeki,” tuturnya.

Sejak beberapa tahun lalu, Nabila menyatakan hasrat untuk menimang cahaya mata memandangkan Keisha juga sudah remaja.

Nabila yang mendirikan rumah tangga dengan Izwan pada 2015 pernah hamil sebanyak dua kali, namun mengalami keguguran iaitu pada April 2019 dan Oktober 2020.

Sebelum ini, dia dan juga suami masing-masing sudah pun melakukan pemeriksaan kesihatan dan didapati sihat oleh doktor untuk memiliki cahaya mata, keputusannya tiada masalah.

Terdahulu, Nabila dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila, 12, menerusi perkahwinan pertama dengan Zaidy Zailani pada 2008 sebelum bercerai selepas tiga tahun bersama. 

Baca juga: “Baru sebulan duduk dah kantoi bercinta dengan suami aku sendiri, dasar adik tak sedar diri…”