“Orang mungkin bunuh dia”, Bergson bongkar punca berebut penalti dengan Arif Aiman

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva kembali mencuri perhatian ramai dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023, baru-baru ini.

Mana tidaknya, penyerang kelahiran Brazil itu bertindak ‘berebut’ mahu mengambil sepakan penalti kedua JDT dengan rakan seperjuangannya iaitu Arif Aiman Hanapi.

Berjaya mengundang perbincangan hangat, Bergson akhirnya tampil mendedahkan punca sebenar perebutan yang melibatkan dua pemain sensasi Harimau Selatan itu.

Rupa-rupanya, Bergson merasa ‘berat’ untuk membenarkan Arif mengambil sepakan penalti pada masa kecederaan itu kerana ia membabitkan perlawanan yang besar.

Tidak mahu mengambil risiko, pemain berusia 32 tahun itu khuatir Arif akan ‘dibunuh’ dengan kecaman penyokong sekiranya dia gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Memetik laporan Berita Harian, Bergson turut menafikan sebarang dakwaan bahawa dirinya tidak percaya dengan kemampuan Arif yang baru berusia 21 tahun itu.

“Perlawanan sangat sukar, saya sayang dia (Arif). Dia masih muda, jika dia terlepas penalti itu dan lawan melakukan serangan serta menjaringkan gol, semua orang mungkin akan ‘bunuh’ (kecam) dia.

“Saya cuba ambil tanggungjawab itu kerana saya berlatih tendangan penalti dan saya berusia 32 tahun, ia perbezaan yang besar. Saya fikirkan mengenai pasukan dan Arif, tetapi syukur dia berjaya jaringkan gol.

“Saya sangat percayakan dia kerana dia pemain yang hebat. Namun, dalam situasi seperti ini, sukar untuk pemain muda berusia 21 tahun melakukan sepakan penalti kerana ia risiko besar untuk dia jika terlepas peluang itu,” katanya.

Meskipun tidak mendapat peluang memberi sepakan penalti kedua, Bergson merasa gembira dapat membantu JDT meraih gelaran ‘double quadruple’ pada musim ini.

Gelaran ini diperoleh selepas kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu memenangi empat piala dalam semusim buat kali kedua berturut-turut.

“Saya sangat gembira dengan satu lagi gelaran ini. Sekarang ayuh tamatkan keseluruhan musim dan selepas itu kami boleh berehat. Apabila berada di sini, kami hanya mahu mencipta sejarah dan membuat penyokong bangga.” Ulasnya.

Terdahulu, Bergson meletakkan JDT di depan dalam perlawanan akhir menentang Terengganu FC (TFC) itu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit keenam.

Walau bagaimanapun, kelebihan tersebut langsung dipadam oleh penyerang import dari TFC iaitu Ivan Mamut yang turut menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-21.

Pemain gantian, Feroz Baharudin kemudian meledak gol kedua JDT pada minit ke-73 sebelum Arif berjaya melengkapkan kemenangan kelab berkenaan dengan mata 3-1.

Mata yang diperoleh ini sekaligus berjaya menobatkan kelab Harimau Selatan sebagai juara Piala Malaysia buat kali keempat selepas musim 2017, 2019 dan 2022.

Baca juga: Nabila Huda luah keinginan tambah anak walau usia bakal cecah 40 tahun, “kalau boleh nak dua lagi”