Teruja makan durian tempatan, Fan Bingbing sempat jumpa Sultan Johor ketika berkunjung di Malaysia

Oleh WAN SITI AMINAH

Bintang filem terkemuka China, Fan Bingbing berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan setelah membuat perkongsian di akaun Instagram miliknya.

Singgah di Malaysia selepas menghadiri Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-34, Fan berkongsi rasa teruja kerana dapat merasai keenakkan buah durian tempatan.

Berkunjung ke kedai durian yang terletak di Petaling Jaya, Selangor, pelakon berusia 42 tahun itu menyifatkan Malaysia sebagai ‘syurga’ bagi pecinta raja buah tersebut.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram itu, Fan dilihat begitu asyik mencuba pelbagai jenis durian di gerai tersebut termasuklah Musang King dan Black Thorn.

Wanita jelita kelahiran Shandong, China itu juga sempat belajar meminum air dari pangsa durian bagi mengelakkan panas badan akibat menikmati buah berkenaan.

“Sedapnya durian Malaysia! Ini adalah SYURGA untuk semua pecinta durian. Saya sudah mencuba D101, D24 XO, Tekka, D197 Musang King, dan D200 Black Thorn.

“Mereka juga mengajar saya untuk meminum air dari pangsa durian bertujuan untuk mengelakkan panas badan. Sangat menarik!,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Sehari sebelum itu, Fan turut berkongsi foto memaparkan dirinya ketika menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ditemani ibunya, Zhang Chuanmei.

Menyifatkan pertemuan tersebut sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, pelakon filem X-Men: Days Of Future Past itu terharu dengan keramahan baginda.

Difahamkan, Fan Bingbing telah dijadualkan menghadap Sultan Ibrahim sebagai sebahagian daripada programnya sempena Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-34.

Urusan menghadap bakal Yang di-Pertuan Agong Malaysia itu dimudah cara oleh pengurus antarabangsa Fan iaitu Jersey Chong yang juga anak kelahiran Johor.

Memiliki 63 juta pengikut di akaun media sosial Weibo dan 4.1 juta di Instagram, Fan merupakan salah seorang pelakon wanita yang mendapat bayaran tertinggi di dunia.

Selebriti itu juga pernah disenaraikan sebagai 100 Orang Paling Berpengaruh di dunia sekaligus menjadikannya sebagai satu-satunya artis wanita Asia yang terpilih.

Baca juga: Datuk Aishah tak nak dah masuk pertandingan, letih hadap komen netizen, “macam berdosa pula jadi tua”