Program IPR bawah Rafizi berjaya ubah nasib pengutip kotak jadi usahawan tani berjaya

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, kehidupan seorang warga emas pengutip kotak berubah sekelip mata selepas menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat Usahawan Tani (IPR-INTAN).

Kini bergelar usahawan tani berjaya, inisiatif kerajaan yang seringkali diperlekehkan orang ramai itu berhasil membawa Mokhtar Malani keluar daripada garis kemiskinan.

Malah, warga emas berusia 62 tahun itu turut mendapat peluang untuk memperoleh pendapatan sendiri menerusi tanaman cili yang diusahakannya, lapor Harapan Daily.

Bukan mudah mencapai kejayaan, Mokhtar perlu berhadapan dengan pengalaman perit kerana perlu menanggung isteri yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Namun setelah menyertai program (IPR-INTAN), kehidupannya kini jauh lebih stabil dan mampu menampung perbelanjaan harian keluarga meskipun sudah lanjut usia.

“Sebelum menyertai IPR, pekerjaan hari-hari saya adalah mencari kotak. Mencari barang-barang yang boleh dikitar semula untuk dijual dan menampung kehidupan.

“Waktu itu, pendapatan tidak stabil. Demi menanggung keluarga, isteri yang OKU, perbelanjaan harian dan sewa rumah, saya bergelut untuk memajukan kehidupan.

“Bila diberi peluang dalam IPR ini, Alhamdulillah kehidupan saya rasa stabil. Terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan khususnya YB (Rafizi Ramli) yang beri idea untuk menubuhkan IPR ini,” katanya memetik laporan Harapan Daily.

Terdahulu, kerajaan pada bulan Februari telah melancarkan IPR yang membabitkan tiga model iaitu INTAN, Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Menerusi INTAN, fasiliti pertanian dengan teknologi moden telah diperkenalkan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan menjana pendapatan tambahan.

Golongan miskin tegar turut menerima manfaat dan berjaya keluar daripada garis kemiskinan dengan pendapatan bersih sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Berbeza dengan projek pertanian lain, semua kelengkapan dan kemudahan seperti infrastruktur pertanian, kolam ikan dan rumah hijau juga disediakan untuk peserta.

Prihatin dengan nasib rakyat kurang berkemampuan, kerajaan turut membantu peserta IPR-INTAN mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan modal operasi.

Usaha ini dijangka mampu membantu meningkatkan keberkesanan pembasmian kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat yang kurang berkemampuan di Malaysia.

Inisiatif tersebut turut bertindak sebagai serampang dua mata bagi meningkatkan kemampanan bekalan makanan serta membantu usaha mengawal harga makanan di pasaran.

Baca juga: Ira Kazar juarai carta carian Google tertinggi, kalahkan Puteri Sarah dan Michelle Yeoh!