Tindakan Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani yang meminta derma di media sosial telah mengundang kecaman ramai, baru-baru ini.
Mana tidaknya, penceramah bebas berkenaan tergamak meminta sumbangan daripada orang ramai hanya untuk menanggung kos pembaikan kereta milik syarikatnya sendiri.
Alasan diberikan oleh Ahmad Dusuki yang juga aktivis politik itu adalah kerana pihaknya tidak dapat membuat tuntutan dari pihak insurans disebabkan beberapa ‘masalah teknikal’.
Mencuri tumpuan ramai, rayuan derma daripada orang ramai tersebut dikongsikan Ahmad Dusuki menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram dan Facebook miliknya.
“Pencarian 1000 orang penyumbang yang bermurah hati ingin menyumbang RM 5 bagi kos pembaikian kereta media UAD (Ustaz Ahmad Dusuki). Kemalangan yang melibatkan kereta ini pada akhir September lepas agak parah.
“Kini kami menggunakan kenderaan pihak lain yang juga perlu dibayar kos sewanya. Kami dimaklumkan oleh pihak bengkel bahawa kos yang diperlukan sekitar RM 3,000 – RM 5,000 untuk membaiki seluruh kerosakan.
“Kami tidak dapat menuntut daripada pihak insurans disebabkan beberapa masalah teknikal. Sudilah kiranya ada insan yang bermurah hati menyumbang untuk pembaikian pengangkutan media UAD ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Seorang pengguna Facebook kemudian berkongsi tangkap layar hantaran tersebut mempersoalkan apakah masalah teknikal yang dialami hingga Ahmad Dusuki tidak dapat menuntut insurans lalu meminta derma orang ramai.
“Apalah masalah teknikal sampai tidak boleh menuntut insurans itu,” soal pengguna Facebook berkenaan membuat hantaran di platform yang sama menggunakan akaun Ana Tahu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial turut tidak bersetuju dengan tindakan Ahmad Dusuki meminta derma orang ramai hanya untuk kepentingannya sendiri.
Mereka menganggap, perbuatan pendakwah meminta derma bagi menganggung kos membaiki kereta milik syarikatnya itu seolah-oleh sengaja mempergunakan pengikut yang kasihan kepadanya.
“Betul-betul memanfaatkan mereka yang miskin minda agar terpancing emosi seraya menyumbang kepadanya. Memang dia pergunakan sungguh pengikut atau sesiapa yang bersimpati,” kata seorang pengguna.
“Senang betul hidup deme ini. Semua benda tak tahu nak usaha sendiri. Mengharap dengan tin Milo (tabung derma) sahaja,” kongsi pengguna lain yang tidak senang atas sikap meminta-minta itu.
Sementara itu, hasil pencarian kami mendapati hantaran permintaan derma di Facebook milik Ahmad Dusuki telah dipadam namun perkongsian sama di laman Instagram masih boleh diakses.
Baca juga: Ini rupanya cara sebenar nak berjimat guna pencuci pinggan Sunlight, sebulan pun boleh tahan