Jaga penampilan, Zainal Abidin akui cucuk botox, nak muka nampak sihat dan tegang

Oleh MAISARAH AISYA

Sebagai penyanyi pastinya penampilan wajah dan kesihatan perlu dijaga, samalah seperti penyanyi veteran, Datuk Zainal Abidin yang mengakui dapat rawatan.

Mahu wajah dan kulitnya kelihatan sihat dan tegang di usia 64 tahun, Zainal tidak malu untuk mengakui beliau mendapatkan suntikan botox.

Menurut Harian Metro, sebagai penghibur yang sentiasa berada di hadapan kamera, dia mahu memastikan kulitnya kelihatan elok walaupun dengan kualiti kamera sekarang.

“Sebagai seorang penghibur, beginilah kehidupan saya, di mana, saya berdepan dengan orang ramai.

“Ditambah pula dengan kualiti kamera sekarang yang berkualiti tinggi, jadi, memang nampak segala kedutan.

“Jadi, bagi memastikan penampilan saya sihat, ia harus diperbaiki dan dirawat dengan sebaiknya. Tapi, sebenarnya, saya tak malu untuk katakan saya buat ‘botox’. Tapi, bukan ‘filler’.

“Ini adalah demi mendapatkan kulit yang sekata, segar dan sihat. Selagi saya sihat, selagi itu saya masih boleh beraksi di atas pentas,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tambah penyanyi lagu Hijau itu, beliau akan berusaha untuk perbaiki imejnya dan sedia medapatkan khidmat pakar.

“Botox ini, masih lagi baru-baru ini (digunakan). Apabila saya pergi berjumpa dengan pihak Idealyst, mereka maklumkan mengenai keadaan kulit saya yang berkedut terutamanya, bila saya senyum.

“Bahagian leher saya pula, dah mula nampak macam ayam belanda. Jadi, ia tak elok sekiranya ada gambar atau visual ‘close up’.

“Jadi, bagi menghindari masalah itu, saya kena rawat. Tapi, saya belum buat prosedur tarik benang. Mungkin di masa akan datang, saya akan buat sekiranya perlu,” tambahnya.

Pada masa sama Zainal menasihatkan orang ramai bagi mendapatkan rawatan di klinik atau berjumpa pengamal perubatan bertauliah atas tujuan keselamatan

Baca juga: Izreen Azminda hilang sabar dengan Intan Saleh, dakwa bertahun kena buli dan ‘provoke’, “tak habis-habis drama kau”