Pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi kembali menjadi topik perbincangan hangat pada saat ini setelah khabar penikahannya tular di media sosial.
Mana tidaknya, wanita dipilih Hafidz sebagai isteri adalah individu yang dipercayai menjadi punca keruntuhan rumah tangganya bersama bekas isteri, Shuhada Shukri.
Berdasarkan undangan jemputan yang tular di media sosial, duda berusia 29 tahun itu dikatakan bakal melangsungkan perkahwinan di Selangor pada 16 Disember ini.
Turut tertera di dalam undangan itu ialah nama lengkap Hafidz dan wanita pilihannya iaitu Athira Yuhada bersama tarikh, masa serta lokasi perkahwinan mereka berdua.
Susulan penularan jemputan itu, Shuhada Shukri yang kini bergelar personaliti media sosial mengakui terkejut apabila mengetahui rancangan pernikahan bekas suaminya.
Terlalu sibuk menguruskan kehidupan sendiri dan anak-anak, ibu tunggal itu enggan lagi mengambil tahu perkembangan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya dahulu.
Sempat mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan, ibu kepada dua cahaya mata itu merasa gembira dengan kehidupan yang dijalaninya selepas bercerai, lapor Kosmo.
“Saya tak tahu, malas nak peduli. Saya memang tidak tahu mengenai itu (penularan kad jemputan perkahwinan Hafidz Roshdi) dan memang enggan ambil kisah.
“Saya lebih sibuk dengan kehidupan sendiri dan menguruskan anak-anak. Apa pun saya sangat gembira dan berseronok dengan kehidupan kini. Alhamdulillah,” katanya memetik laporan Kosmo.
Untuk makluman, Shuhada dan Hafidz pernah melangsungkan perkahwinan pada 30 April 2016 sebelum pasangan berkenaan disahkan bercerai pada bulan Julai lalu.
Kemelut rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian ramai setelah Shuhada membuat pendedahan bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Susulan pendedahan tersebut dibuat, pelakon drama Tundukkan Playboy itu melafazkan cerai terhadap Shuhada tepatnya pada 22 Februari menerusi satu panggilan telefon.
Setelah melalui prosiding mahkamah yang penuh sensasi, hakim kemudian membuat keputusan bahawa lafaz diungkapkan Hafidz itu disahkan mengikut hukum syarak.
Sah bercerai talak satu, keputusan itu dibuat Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 27 Julai lalu dalam prosiding pengesahan lafaz cerai luar mahkamah.
Hasil perkongsian hidup selama enam tahun, pasangan tersebut dikurniakan dengan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar yang kini berusia tiga tahun.
Baca juga: Ini rupanya cara sebenar nak berjimat guna pencuci pinggan Sunlight, sebulan pun boleh tahan