Perubahan portfolio melibatkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam rombakan kabinet baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, Khaled yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Pendidikan Tinggi tiba-tiba ditukarkan kepada portfolio Menteri di Kementerian Pertahanan yang dikenali ramai sebagai MINDEF.
Khaled mengambil tempat Timbalan Presiden Umno iaitu Datuk Seri Utama Mohamad Hasan yang dilantik sebagai Menteri Luar Negeri bagi mengukuhkan dasar luar negera dan menyelia hubungan diplomatik Malaysia.
Susulan rombakan tersebut, timbul dakwaan tidak berasas yang menuduh lantikan ini sebagai strategi bagi melemahkan pengaruh Mohamad yang lebih mesra disapa Tok Mat itu di dalam parti Umno.
Mencuri perhatian ramai, bekas pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) iaitu Mohamed Hadi tampil merungkai persoalan ini menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Berdasarkan hantaran itu, Mohamed Hadi menyifatkan perlantikan Khaled Nordin ini sebagai keperluan strategik selari dengan pemilihan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Hal ini kerana, Khaled Nordin memiliki pengalaman kerja yang sangat baik dengan Sultan Ibrahim berikutan dirinya pernah menjawat jawatan Menteri Besar Johor pada tahun 2013 hingga 2019.
“Dengan latar belakang ketenteraan yang baginda (Sultan Ibrahim) miliki, sudah tentu kementerian yang paling sensitif dan bakal diberi perhatian ialah Kementerian Pertahanan.
“Sudah banyak kali baginda menegur secara terbuka mengenai kelengkapan tentera yang uzur dan tidak berkualiti, malah projek-projek (di bawah kementerian itu) pun banyak yang terbengkalai.
“Tidak ada masalah mengenai Tok Mat Hassan. Tetapi dengan adanya Yang di-Pertuan Agong baharu, Perdana Menteri memerlukan Menteri Pertahanan yang mempunyai pengalaman kerja dengan Sultan Johor,” katanya.
Menurut Hadi, dakwaan pemindahan Tok Mat ke Wisma Putra untuk melemahkan pengaruhnya adalah ‘naratif tempang’ pihak pembangkang kerana jawatan Menteri Pertahanan tidak memberi kekuatan kepada Ahli Parlimen Rembau itu.
Sebaliknya, ia merupakan satu portfolio penuh dengan protokol dan adat istiadat yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan seseorang pemimpin di dalam ‘akar umbi’ parti Umno.
Baca juga: Isteri jutawan mengeluh sering diberi layanan mewah, rimas ‘bodyguard’ ikut 24 jam