Simpati dengan nasib artis K-Pop, pesara 74 tahun rugi RM225,000 ditipu ‘Lee Min-ho’

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang pesara guru berusia 74 tahun sanggup membelanjakan wang sebanyak RM225,000 demi artis K-Pop pujaannya.

Malang tidak berbau, pesara tersebut rupa-rupanya telah menjadi mangsa sindiket ‘love scam’ yang menyamar sebagai selebriti asal Korea Selatan iaitu Lee Min-ho.

Difahamkan, mangsa mula mengenali suspek yang menyamar sebagai Lee Min-ho itu menerusi aplikasi media sosial Facebook sebelum berhubung melalui ‘mesenger’.

Bagi mendapatkan simpati, suspek kemudian memaklumkan kepada wanita warga emas berkenaan bahawa dirinya kini terlibat dalam satu kes perbicaraan di mahkamah.

Suspek turut memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang yang kononnya bakal dibelanjakan bagi menanggung kos pembelaannya dalam kes mahkamah terbabit.

Kes disahkan oleh Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud yang menerima maklumat selepas mangsa membuat laporan, lapor Sinar Harian.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa mengenali suspek melalui laman media sosial iaitu Facebook sejak tahun 2022 lalu dan mereka berhubung melalui ‘massenger’.

“Pada Oktober lalu, suspek mula meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah wang kepadanya dengan alasan dia mempunyai kes perbicaraan di mahkamah.

“Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia memerlukan jumlah wang yang banyak untuk lepas daripada kes tersebut,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Simpati dengan nasib ‘Lee Min Hoo’, mangsa telah membuat enam pemindahan duit sebanyak RM225,000 ke dalam satu akaun dalam tempoh dua bulan sehingga bulan ini.

Tidak kama kemudian, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang selepas sedar dirinya ditipu dan suspek kini giat dicari oleh pihak berkuasa.

“Polis sedang mengesan sindiket yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.” Jelas Superintenden Mohd Adli lagi.

Baca juga: Bapa gatal nak kahwin walaupun tak ada duit, anak menangis gadai rantai emas untuk belikan cincin