Terkejut tahu keadaan terkini Jamal Yunos, terlantar di hospital akibat barah tahap 4

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama tidak muncul di ‘pentas’ politik, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar iaitu Datuk Seri Jamal Md Yunos rupanya sedang berada di hospital.

Ahli politik yang lebih dikenali sebagai Jamal Yunos itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur bagi menerima rawatan barah paru-paru tahap empat.

Pernah diisytihar bebas daripada barah, penyakit yang dihidapinya sejak dua tahun lalu itu kembali menyerang organ dalaman pernafasan walaupun sedang mengambil ubat-ubatan.

Difahamkan, Jamal mulanya dirawat di hospital selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas sebelum disahkan kembali menghidap barah tahap empat, lapor Malaysia Gazette.

Khabar mengejutkan itu disampaikan sendiri oleh anaknya iaitu Amin Daniel Jamal yang turut memohon orang ramai mendoakan bapanya agar kembali pulih seperti sedia kala.

“Sebelum ini, bapa saya dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di sini selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas dengan lancar.

“Selain itu, bapa saya juga mendapat rawatan dengan mengambil ubat-ubatan dari luar negara, namun penyakit kanser itu kembali semula.

“Saya harap orang ramai dan kenalan bapa saya dapat mendoakan kesihatan supaya beliau kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Mengulas lanjut, Amin Daniel turut memaklumkan bahawa keadaan fizikal bapanya kini agak terjejas akibat kesan ubat-ubatan yang diambil sehingga menyebabkan berat badannya turut menyusut.

Jamal kini sedang berehat di hospital swasta berkenaan dan anaknya yang berusia 22 tahun itu meminta supaya bapanya tidak diganggu hingga keadaannya kembali stabil.

“Buat masa sekarang berilah ruang dan privasi kepada bapa saya untuk menerima rawatan dan fikirannya agak terganggu kerana penyakit kanser.” Ulasnya.

Terdahulu, Jamal telah disahkan selesai menjalani rawatan dan dibenarkan keluar daripada Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada 21 September, tahun lalu.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya tahun lalu, Jamal memaklumkan dirinya pulih sepenuhnya dari penyakit kanser paru-paru tahap empat berdasarkan pemeriksaan susulan pihak hospital.

Wakil rakyat berusia 53 tahun itu berkata, keadaan kesihatannya merosot sejak 17 September 2022 disebabkan beban tugas terlampau termasuk menghadiri 20 program dalam masa dua hari.

Keadaan pengusaha ikan bakar Sekincan itu bertambah buruk apabila terkena keracunan makanan di dalam salah satu majlis tersebut sehingga menyebabkan beliau pitam.

Baca juga: Natasha Hudson dakwa diri alami penyakit keturunan, jadi punca 4 kali bercerai