Pendakwah bebas, PU Riz berkongsi rasa gembira apabila isterinya iaitu selebriti sensasi, Neelofa dilantik sebagai duta untuk satu jenama antarabangsa.
Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail menyifatkan bahawa kejayaan yang dikecapi oleh Neelofa itu berhasil menjadi kenyataan kerana wanita berkenaan taat kepadanya.
Akui lelaki berusia 28 tahun itu, dirinya sentiasa mengingatkan Neelofa supaya patuh dengan syariah setiap kali melakukan sesuatu perkara termasuk dalam soal penampilan.
Neelofa sebelum ini kembali mencuri perhatian ramai setelah dilantik sebagai duta jenama antarabangsa untuk kereta sorong bayi dan kerusi kanak-kanak, lapor Harian Metro.
“Alhamdulillah, itu rezeki dia dan berkat taat pada suami. Saya percaya, jika kita tetapkan hati dan istiqamah dalam melakukan sesuatu perkara, insya-Allah, segalanya dipermudahkan Allah SWT.
“Sebagai suami, sudah tentu saya rasa bersyukur dan gembira atas apa juga yang diterima isteri. Itu semua rezeki Allah.
“Secara peribadi, saya sentiasa menyokong apa saja perkara yang membawa kepada kebaikan bukan saja untuk dia dan keluarga tapi juga secara umum,” katanya memetik Harian Metro.
Ulas Riz, pelantikan isterinya ini secara tidak langsung telah menjadi penanda aras bagi golongan wanita muslimah terutamanya di kalangan mereka yang tampil berhijab atau berniqab.
Bukan itu sahaja, imej wanita muslimah juga tidak boleh lagi dijadikan alasan bagi segelintir pihak untuk tidak bekerjasama terutama apabila membabitkan jenama antarabangsa.
“Secara tidak langsung, pelantikan isteri sebagai duta adalah bukti penerimaan orang luar terhadap tuntutan agama dan budaya kita.” Jelas Hariz yang turut bergelar pelakon itu.
Terdahulu, Neelofa yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu telah dipilih untuk menjadi duta jenama kereta sorong dan kerusi kanak-kanak yang berasal daripada Belanda.
Untuk rekod, Riz yang mula dikenali ramai menerusi rancangan realiti agama, Pencetus Ummah (PU) itu mendirikan rumah tangga dengan Neelofa pada 27 Mac 2021 lalu.
Hasil perkongsian hidup, pasangan merpati dua sejoli itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 1, dan Abdullah Abbas yang kini berusia lima bulan.
Baca juga: Natasha Hudson dakwa diri alami penyakit keturunan, jadi punca 4 kali bercerai