Pengasas Bawal Exclusive sanggup belanja RM250,000 untuk busana bertakhta Swarovski, hampir setahun untuk disiapkan

Oleh KIM SYAZIE

Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri mencuri tumpuan ramai apabila menggayakan busana serba mewah yang bertakhtakan kristal Swarovski dengan nilai RM250,000.

Busana yang direka pereka fesyen terkenal, Rizalman Couture dihiasi 83,900 butir Swarovski sempena majlis makan malam meraikan ulangtahun ke-25 jenama itu kelmarin.

Kata Haliza, busana istimewa (head to toe) yang mencecah ratusan ribu ringgit itu memakan masa selama setahun untuk disiapkan kerana dijahit secara buatan tangan (handmade).

Pengasas Bawal Exclusive

“Saya sudah rancang untuk hasilkan baju ini sejak awal tahun dah akhirnya terhasilah busana yang mana fabriknya diimport dari United Kingdom (UK). Ia mengambil masa selama hampir setahun memandangkan ia dijahit secara handmade.

“Sebenarnya sebelum berjumpa Rizalman, saya sudah mencari beberapa pereka fesyen di Turki, tetapi agak sukar kerana perlu fitting dan ulang alik ke sana. Jadi, saya rasa satu-satunya pereka fesyen yang dapat memenuhi kehendak saya adalah Rizalman.

“Saya beri kepercayaan kepada Rizalman Couture menghasilkan busana ini kerana mereka sangat detail dan itu yang memberikan saya keyakinan. Sebelum ini, untuk acara besar pun saya memang menggunakan khidmat mereka.

“Inilah hasilnya dan memang rasa amat berat dan sukar untuk digambarkan penampilan saya. Apa yang saya nak, Rizalman sudah dapat menjiwai,” katanya kepada pemberita 

Bercerita lebih lanjut mengenai busana berkenaan, Haliza memaklumkan sebagai rakan penjenamaan bersama Swarovski, kristal yang digunakan juga adalah tulen.

Dalam pada itu, Haliza berkata dia tidak kisah untuk berbelanja besar untuk busana kerana secara tidak langsung memberi sokongan kepada pereka fesyen tempatan.

“Malam ini dihadiri oleh pihak Swarovski yang diterbangkan daripada Austria semata-mata untuk majlis makan malam. 

“Saya memang nak pihak Swarovski melihat busana saya dan sokongan rakyat Malaysia terhadap Bawal Exclusive.

“Saya beli sepersalinan pakaian dengan harga RM250,000 yang dihasilkan orang seni. Why not? Siapa yang tidak kenal dengan Rizalman?,” ujarnya.

Baca juga: “Aku tahu suami aku mampu poligami, tapi macam mana dengan perasaan aku, sia-sia 18 tahun berkahwin…”