Pegawai kanan polis didakwa atas kes bunuh, tuntutan netizen terkabul – “Nyawa dibalas nyawa”

Oleh WAN SITI AMINAH

“Nyawa dibalas nyawa”, itulah tuntutan rakyat Malaysia terhadap pegawai kanan polis yang disyaki melanggar pelajar sekolah menengah hingga maut, baru-baru ini.

Tuntutan tersebut akhirnya terkabul apabila Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa pegawai tersebut bakal didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pada pagi ini.

Suspek berusia 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati dijatuhkan keatasnya jika terbukti bersalah.

Keputusan dibuat selepas hasil siasatan didapati mempunyai keterangan mencukupi untuk mensabitkan pegawai tersebut atas kesalahan membunuh, lapor Berita Harian.

“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemuka dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan terhadap suspek.

“Suspek akan dituduh secara tentatif mengikut Seksyen 302 di Mahkamah Majistret, Ipoh, pada Isnin 18 Disember 2023. Mahkamah Majistret kemudian akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” kata jabatan itu memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, berlaku satu insiden pada Khamis lalu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, di Ipoh membabitkan sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis dan motosikal ditunggang seorang pelajar.

Penunggang motosikal iaitu Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang ketika itu dalam perjalanan pulang daripada sekolah dilaporkan maut dalam insiden terbabit.

Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas remaja berusia 17 tahun itu kemudian mendapati punca kematiannya adalah kecederaan di bahagian dada dan juga abdomen.

Kes pelanggaran melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini begitu mencuri tumpuan ekoran suspek merupakan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan.

Integriti pihak polis turut dipersoal apabila pegawai penyiasat kes didapati memiliki hubungan sebagai rakan dengan suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu.

Susulan itu, masyarakat berharap agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus selain menuntut supaya pegawai kanan berkenaan dijatuhkan hukuman mati.

“Qisas. Nyawa dibalas nyawa, Darah dibalas darah,” tulis seorang pengguna media sosial X (Twitter) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform berkenaan.

“Nyawa dibalas nyawa. Ini bukan tahap baran, ini mental s**l. Gila pergi lenyek budak itu di depan orang ramai,” kongsi pengguna lain di platform yang sama.

Baca juga: “Pihak polis tak akan berkompromi atau lindung mana-mana pihak” – Ketua Polis Perak