Beras import naik harga jadi punca bekalan beras tempatan berkurang

Oleh MAISARAH AISYA

Isu beras ini bukanlah satu masalah baru malah jika bertukar kerajaan sekalipun isu ini tetap ada dan akan muncul saban tahun.

Hal itu mungkin disebabkan ramai rakyat Malaysia yang memilih beras tempatan dek kerana beras import berada dalam lingkungan harga lebih mahal.

Menurut Sinar Harian, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan tuaian padi sedang dalam proses pengilangan disusuli proses penanaman semula.

“Isu bekalan masih ada tapi semakin reda. Cuma sekarang punca beras kita tidak mencukupi kerana tahap sara diri (SSL) negara baru 65 peratus dan masih 35 peratus lagi belum mencukupi.

“Difahamkan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) baru saja tuai padi, proses seterusnya menjemur, mengilang sebelum beras tersedia di dalam pasaran,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau yang ditemui pemberita semasa lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat pada Isnin memaklumkan isu bekalan makanan tiada berkesudahan.

“Beras tempatan jadi rebutan disebabkan beras import mahal.

“Reda beras, ayam, telur, timbul masalah bawang pula. Masalah makanan ini yaumulkiamah.. pasti akan ada,” tambahnya.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendapati kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran negara berpunca pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Ia juga adalah disebabkan para pengguna yang beralih daripada membeli beras import kepada BPT disebabkan kenaikan harga akibat tindakan negara India menghentikan eksoprt bahan mentah itu.

Baca juga: Pegawai kanan polis didakwa atas kes bunuh, tuntutan netizen terkabul – “Nyawa dibalas nyawa”