Anak layan ibu macam orang gaji, rasa berhak kerana beri duit belanja setiap bulan

Oleh WAN SITI AMINAH

Tidak ubah seperti orang gaji, itulah layanan kejam diberikan oleh dua adik-beradik kepada ibu mereka yang sudah lanjut usia.

Bayangkan, tubuh uzur milik warga emas berusia 65 tahun itu dikerah oleh dua orang anak kandungnya yang sudah bekerjaya untuk membuat semua kerja-kerja di rumah.

Selain memasak, wanita berkenaan juga terpaksa menggalas tanggungjawab untuk mengemas rumah, mencuci pakaian, menyidai dan juga melipat baju anak-anaknya.

Bukan itu sahaja, dua orang anak yang tidak berperikemanusiaan itu turut tergamak membiarkan sang ibu bersendirian menguruskan kucing peliharaan keluarga mereka.

Sang ibu yang kelesuan akibat membuat kerja rumah seharian itu langsung tidak dapat berehat kerana perlu memberi makan dan membuang najis haiwan tersebut.

Mengejutkan, perkara menyayat hati itu dibongkarkan sendiri oleh adik mereka yang merupakan seorang penuntut universiti awam bernama Iman (bukan nama sebenar).

Iman yang tinggal di asrama itu mengakui, abang dan kakaknya dahulu berniat baik ketika membuat keputusan tinggal bersama ibu di rumah teres di pinggir ibu kota.

Mulanya khuatir dengan keadaan ibu yang duduk berseorangan di rumah, dua adik-beradik itu malah berubah setelah mereka akhirnya tinggal bersama, lapor Kosmo.

“Apabila balik dari kerja, mereka terus campak baju di dalam bakul. Nanti bila nak pakai balik, semua dah tersedia basuh, kering dan lipat.

“Bila lapar pula, minta ibu masak itu dan ini. Waktu cuti, sama ada mereka tidur seharian, main telefon atau keluar dengan rakan.

“Kucing pun biar ibu yang uruskan. Mereka hanya bermain suka-suka sahaja dengan kucing itu,” kata Iman menerusi satu sesi pendedahan memetik laporan Kosmo!.

Iman yang hanya berpeluang untuk pulang ke kediaman tersebut di setiap hujung minggu itu sudah mulai muak dengan sikap lepas tangan kedua adik-beradiknya.

Menurut Iman, wang belanja yang diberi setiap bulan oleh abang dan kakaknya itu tidak memberi hak kepada mereka berdua untuk melayan ibu seperti orang gaji.

“Tidak dinafikan, setiap bulan mereka beri ibu wang. Kadangkala, mereka belikan hadiah. Tetapi saya yakin bahawa tanggungjawab anak lebih daripada itu.

“Buat apa kalau anak masih tinggal di rumah tapi buat macam orang gaji.” Soal Iman yang tidak dapat menahan perasaan amarahnya.

Diharapkan, semoga perkongsian Iman itu dapat menyentuh hati abang dan kakaknya supaya segera berubah serta memberi layanan selayaknya kepada ibu mereka.

Baca juga: Beras import naik harga jadi punca bekalan beras tempatan berkurang