“Beli nasi RM7.50, tapi caj penghantaran sampai RM50” – Wanita terkedu ‘runner’ bagi alasan hujan naikkan harga

Oleh MAISARAH AISYA

Adalah perkara biasa caj penghantaran semasa hari hujan adalah berlainan namun tidaklah sampai tiga kali ganda daripada harga sebenar.

Apatah lagi untuk satu pesanan makanan di bawah harga RM10, pastinya terkejut pelanggan yang mahu membeli.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang wanita yang dikenali sebagai Mardhiah memuat naik persoalan mengenai caj harga dikenakan untuk servis penghantaran makanan.

Menurutnya, dia musykil sama ada benar harga yang dicaj sebanyak RM50 dengan jarak penghantaran makanan yang kurang dari lapan kilometer (km) itu berpatutan.

Wanita itu menggunakan khidmat seorang penghantar untuk membantu membelikan makanan di Kota Bharu, Kelantan.

Makanan tersebut untuk dihantar kepada ibunya yang berada di rumah di Kubang Kerian, Kelantan.

Mardhiah memesan nasi berlauk berharga RM7.50, namun caj servis dikenakan tujuh kali ganda dari harga makanan.

“Nak dijadikan cerita, saya mesej seorang ‘runner’ untuk minta tolong, saya agak terkejut tengok dia caj untuk beli nasi dan hantar pada umi saya.

“Untuk pengetahuan dia dari Kota Bharu hantar ke umi saya dekat Kubang Kerian dengan jarak kurang 8km. Memang begitu ke standard harga ‘runner’ caj?,” soalnya.

Dalam tangkap layar perbualan yang dikongsikan wanita tersebut, penghantar makanan itu memberi alasan faktor cuaca dan memerlukan individu tersebut menunggu lama sehingga hujan berhenti.

“Assalamualaikum, boleh ke nak tanya sedikit, kebetulan hari ini umi saya tak sihat, dia minta tolong saya carikan ‘runner’ pergi beli nasi dekat sekitar Sri Mutiara.”

“Nasi berlauk RM7.50, caj ‘runner’ musim-musim hujan lebat RM50. Kesemuanya RM57.

“Musim-musim hujan ini saya caj mahal sedikit dari biasa sebab skop kerja, kalau hari biasa hantar jarak 10km ke bawah harga RM15 sahaja,” balas penghantar terbabit.

Memang biasa untuk caj lebih semasa hari hujan tapi harga tersebut dilihat sangat tidak bersesuaian dengan kuantiti dan jarak.

Baca juga: Wanita maut ditikam rakan lelaki di parkir restoran, sempat makan ‘lunch’ bersama