Guna kata-kata kesat kepada polis, Caprice mohon maaf guris hati, “sebenarnya ia dituju kepada seorang sahaja”

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi rap dan selebriti media sosial, Caprice membuat permohonan maaf kepada seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan video yang dimuat naik mengguris hati pasukan keselamatan itu.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 35, berkata, video yang dimuat naik itu sebenarnya dituju kepada satu orang sahaja iaitu pegawai polis yang didakwa membunuh seorang pelajar berusia 17 tahun 15 Disember lalu.

“Saya minta maaf kepada sesiapa dari pasukan biru (polis) yang mungkin terguris hati dan terasa dengan hantaran (di media sosial) saya.

“Sebenarnya ia dituju kepada seorang sahaja dan tidak ada kaitan dengan anggota polis lain.

“Bapa saudara saya pun ada yang pernah menjadi Ketua Polis Kelantan pada 2003, ada askar, jadi keluarga kita ada kakitangan kerajaan,” katanya kepada media semalam.

Dalam pada itu, Caprice berkata, dia sedia maklum tentang kepentingan untuk tidak melaga-lagakan isu tersebut sehingga mencalarkan imej PDRM.

“Kita sebagai orang awam termasuk saya perlu hati-hati dengan setiap hantaran yang dibuat supaya tidak melagakan isu tersebut. Terima kasih PDRM kerana dengar suara kami semua,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai siasatan dijalankan pihak polis terhadapnya, Caprice memaklumkan, PDRM merampas dua buah telefon bimbit, komputer riba, kamera dan kad SD bagi tujuan siasatan.

Terdahulu, Caprice memuat naik sebuah video tentang insiden tersebut dan menggelar anggota polis berkenaan menggunakan kata-kata kesat. 

Baca juga: “Semua benda aku tanggung, jaga penampilan walau anak dah 4, tapi suami selamba curang, alasannya…”