Zainal Abidin jalani rawatan kelamin, nasihat para suami usah malu kerana ia ‘boleh dibaiki’

Oleh WAN SITI AMINAH

Demi mengekalkan keharmonian rumah tangga, penyanyi veteran popular iaitu Datuk Zainal Abidin tidak segan untuk menjalani rawatan kelamin.

Hal ini kerana, masalah berhubungan dengan alat kelamin amatlah serius buat lelaki memandangkan ia boleh memudaratkan hubungan suami isteri dan rumah tangga. 

Oleh yang demikian, penyanyi berusia 64 tahun itu menyeru suami di luar sana untuk mendapatkan rawatan sekiranya berdepan masalah kegagalan fungsi alat kelamin.

Jelas Zainal, para suami tidak sepatutnya merasa malu atau ‘bersembunyi’ kerana masalah itu sangatlah normal bagi lelaki yang meningkat usia, lapor Harian Metro.

“Sebenarnya, tak perlu segan untuk bersuara mengenainya kerana apabila kita berkongsi, ia memberi peluang kepada mereka yang ada masalah sama seperti pernah saya lalui, untuk berusaha dan memperbaiki masalah itu. 

“Kalau disimpan, ia akan mengganggu hubungan dalam rumah tangga dan hubungan suami isteri itu sendiri akan menjadi semakin pudar. Ia akan mendatangkan satu perjalanan hidup yang negatif. 

“Kalau saya berkongsi, maka, akan lebih ramai orang yang tahu dan pergi untuk melakukan pemeriksaan,” kata pelantun lagu Puteri itu memetik laporan Harian Metro.

Pemilik nama sebenar Zainal Abidin Mohamed itu difahamkan mendapatkan rawatan mengembalikan fungsi alat kelaminnya selepas menerima nasihat daripada pakar.

Zainal mengakui rawatan tersebut sememangnya berkesan buat dirinya setakat ini meskipun ia tidak dapat mengembalikan fungsi sebanyak 100 peratus seperti dahulu.

“Disebabkan kencing manis, darah tinggi, tahap kolesterol dan sebagainya, ia mengganggu kesihatan kelamin saya dan tak berfungsi seperti biasa. Ia beransur-ansur menjadi semakin lemah. 

“Jadi, saya berjumpa dengan doktor dan mereka nasihatkan saya untuk menjalankan prosedur P-Shot dan makan ubat. Sekarang, saya dah nampak kemajuan selepas melakukan prosedur itu.

“Tapi, tidaklah ia kembali 100 peratus seperti mana ketika saya berusia 18 tahun. Sekurang-kurangnya, ia menyelamatkan keadaan rumah tangga saya sebelum ia menjadi lebih teruk.” Ulasnya.

Sementara itu, Zainal turut menasihatkan orang ramai agar tidak membeli produk tidak sahih keberkesanannya yang kini dijual secara terbuka di platform media sosial.

Bukan sahaja mungkin tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produk itu juga berisiko membahayakan alat kelamin dan juga kesihatan pengguna.

Baca juga: “Semua benda aku tanggung, jaga penampilan walau anak dah 4, tapi suami selamba curang, alasannya…”