Berang pintu ditutup terlalu kuat, pemandu e-hailing Kuantan didakwa pukul pelajar

Oleh WAN SITI AMINAH

Dua pelajar universiti mendakwa telah diserang pemandu perkhidmatan e-hailing di Kuantan ketika mengadakan lawatan selama dua hari ke negeri itu, baru-baru ini.

Akibat serangan pemandu tersebut, salah seorang daripada pelajar itu mengalami retak tulang pada dua jari tangan kanan dan lebam di beberapa bahagian badan.

Difahamkan, insiden itu dipercayai tercetus selepas pemandu berkenaan naik berang apabila salah seorang daripada mereka menutup pintu kereta dengan terlalu kuat.

Ketika kejadian, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berasal dari China itu menempah perkhidmatan e-hailing dari menara Kuantan 188 untuk pulang ke hotel.

Walau bagaimanapun, pelajar tersebut diserang dengan objek dipercayai kerusi lipat besi sebaik menutup pintu kereta selepas sampai di sebuah hotel di Jalan Sekilau.

Khuatir akan keselamatannya, pelajar dikenali sebagai Yuan itu segera menaiki bas ke Kuala Lumpur untuk pulang bersama rakannya dan menerima rawatan di hospital.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan pihaknya telah menahan pemandu terbabit.

Suspek berusia 32 tahun yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) itu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Selasa lalu.

Menurutnya, suspek juga mengaku terbabit dalam kejadian serangan wanita warga China berusia 22 tahun itu kerana berang mangsa menutup pintu kereta terlalu kuat.

Siasatan pihak polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya, lapor Sinar Harian.

“Kita turut merampas kerusi lipat dipercayai digunakan lelaki terbabit ketika menyerang mangsa,” kata Wan Mohd Zahari memetik laporan Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari menjelaskan bahawa kes tersebut disiasat mengikut Sesyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Baca juga: Tak sampai 2 minggu beranak czer, Ayda Jebat cabar diri mahu kurus sehingga 46kg dalam 30 hari