Pemilik syarikat janji beri bonus penuh hujung tahun, asalkan pekerja buat aktiviti ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemilik sebuah syarikat berjaya mencuri tumpuan setelah berjanji untuk memberikan bonus penuh pada hujung tahun kepada semua pekerjanya.

Rezeki tidak datang bergolek, kakitangan syarikat itu bagaimanapun perlu berusaha dengan ‘keras’ untuk mendapatkan bonus yang telah dijanjikan oleh majikan mereka.

Sudah termaktub dalam polisi syarikat, pekerja Dongpo Paper di wilayah Guangdong, China itu hanya akan memperoleh ganjaran selepas melakukan aktiviti kesukanan.

Difahamkan, polisi terbaharu itu diperkenalkan oleh pengerusi syarikat, Lin Zhiyong yang bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup lebih sihat dalam kalangan pekerja.

Maklum Zhiyong, kakitangan yang ingin memperoleh bonus bulanan penuh perlulah terlibat dalam aktiviti larian sekurang-kurangnya dalam jarak 50 kilometer (km).

Pekerja yang berjaya lari sejauh 40 km pula bakal menerima 60 peratus dari bonus tersebut, manakala pelari jarak 30 km akan meraih ganjaran sebanyak 30 peratus.

Bukan itu sahaja, mana-mana pekerja yang berjaya menghabiskan larian sejauh 100 km berpeluang untuk menerima tambahan 30 peratus kepada jumlah ditetapkan.

Tidak hanya terbatas kepada acara larian, pekerja juga layak mendapatkan bonus dalam jumlah serupa dengan melakukan aktiviti mendaki gunung dan berjalan kaki.

Pekerja dipercayai tidak boleh ‘main tipu’ kerana segala aktiviti ini dipantau menerusi aplikasi khas dalam telefon bimbit mereka, lapor South China Morning Post (SCMP)

“Secara asasnya, semua pekerja layak mendapat bonus penuh. Sesebuah syarikat hanya mampu bertahan lama jika pekerjanya sihat,” kata Zhiyong memetik laporan SCMP.

Jelas Zhiyong, melalui aktiviti bersukan pekerjanya akan mendapatkan kesihatan yang baik, manakala syarikatnya pula akan menerima kakitangan yang produktif.

Zhiyong yang berpengalaman mendaki Gunung Everest sebanyak dua kali itu mahu menggalakkan lebih 100 pekerjanya untuk mengutamakan sukan dan kecergasan.

Baca juga: Guna kata-kata kesat kepada polis, Caprice mohon maaf guris hati, “sebenarnya ia dituju kepada seorang sahaja”